Home Sukan PEMINAT SALAH DI MESIR BOIKOT AKSI LIVERPOOL

PEMINAT SALAH DI MESIR BOIKOT AKSI LIVERPOOL

223
0

KAHERAH: Di sebuah kafe di kawasan sibuk Kaherah, perlawanan Liverpool sebelum ini menarik minat penonton hingga penuh sesak, namun tanpa kelibat Mohamed Salah di tengah padang, peminat Mesir kini lebih rela bermain dam atau melayari telefon berbanding menonton aksi The Reds.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Salah, antara bintang bola sepak terhebat dunia, mengkritik pengurus Arne Slot selepas dia diketepikan ke bangku simpanan bagi tiga perlawanan berturut-turut.

Dilabel sebagai ‘Raja Mesir’, Salah memberitahu wartawan dia berasa seperti “dicampak ke bawah bas” oleh kelab yang menjadi rumahnya selama tujuh setengah tahun.

Kecaman itu memecahbelahkan penyokong Liverpool di seluruh dunia – tetapi di kafe Kaherah itu, mereka jelas berpihak kepada Salah dan aksi Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, awal pagi semalam, langsung tidak dipedulikan.

“Kami kecewa, sudah tentu,” kata Adel Samy, 40, peminat tegar Salah, yang masih ingat bagaimana kafe itu dibanjiri penyokong setiap kali dia beraksi.

Awal pagi semalam, hanya segelintir pelanggan duduk di meja usang – ada yang asyik dengan telefon, ada yang bermain kad, hampir langsung tidak menoleh ke skrin.

“Dia tidak layak dilayan sebegini,” kata Samy kepada AFP.

Islam Hosny, 36, yang mengurus kafe keluarga itu berkata, dahulu kawasan luar kafe penuh sesak dengan orang ramai yang berdiri lebih ramai daripada yang duduk.

“Kafe ini akan penuh seperti aksi musuh tetangga Ahly-Zamalek,” katanya kepada AFP.

“Tetapi sekarang, bila mereka tahu dia tidak main, tiada siapa datang.”

Malah di satu sudut, seorang pelanggan meminta pekerja menukar siaran ke perlawanan lain.

Sejak menyertai Liverpool pada tahun 2017, Salah mengangkat semula kelab Merseyside itu ke pentas tertinggi Eropah – mencetus inspirasi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, selain memenangi Piala FA, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.

Dengan 250 gol dalam 420 penampilan, dia kini penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah Liverpool dan bagi rakyat Mesir, atlet terhebat yang pernah mereka lahirkan.

Namun musim ini, Salah bergelut dengan prestasi, hanya menjaringkan lima gol dalam 19 penampilan ketika Liverpool menang lima daripada 16 perlawanan terakhir semua pertandingan dan kini menghuni tangga kelapan kumpulan Liga Juara-Juara dengan 12 mata.

Di kafe kawasan Shoubra, perasaan kecewa menyelubungi penyokong.

“Cristiano Ronaldo, (Lionel) Messi dan semua pemain pun ada masa merudum,” kata Mohamed Abdelaziz, 40, “tetapi mereka tetap bermain.”

Shady Hany, 18, menggeleng kepala. “Macam mana pemain seperti Mohamed Salah boleh duduk di bangku simpanan begitu lama?” katanya kepada AFP.

“Sudah tiba masanya Salah pergi ke kelab lain.”

Salah, yang akan menyertai skuad Mesir bagi Piala Negara-Negara Afrika selepas aksi menentang Brighton hujung minggu ini, masih mempunyai sekitar 18 bulan dalam kontrak bernilai £400,000 (kira-kira RM2.2 juta) seminggu yang ditandatangani April lalu.

Kelab Arab Saudi sudah menetapkan sasaran untuk mendapatkannya pada jendela perpindahan musim sejuk, kata sumber Dana Pelaburan Awam (PIF) kepada AFP.

Namun pengulas sukan Mesir, Hassan Khalafallah percaya Salah mempunyai motivasi lain.

“Kalau dia terlalu pentingkan wang, dia sudah terima tawaran dari kelab Teluk lebih awal,” katanya kepada AFP.

“Apa yang penting bagi Salah adalah karier dan legasinya.”

Perjalanan Salah dari kampung Nagrig di Lembah Nil ke pentas global di Anfield mencetus inspirasi kepada jutaan peminat.

Kisahnya ibarat satu hikayat dongeng – bermula di El Mokawloon, kemudian ke Basel di Switzerland, melalui detik sukar di Chelsea, bangkit di AS Roma dan akhirnya menjadi antara pemain terhebat EPL.

“Salah adalah bintang Mesir yang kami semua banggakan,” kata Hany.

“Arab Saudi itu semuanya mengenai wang, tetapi Salah layak lebih daripada itu. Dia masih ada masa depan cerah.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here