PUTRAJAYA: Kehilangan abang tersayang secara mengejut pada Ramadan dua tahun lalu menjadi kenangan paling perit buat pelakon, Fauzi Nawawi, 53, sampai bila-bila.
Memetik laporan Berita harian, akibat terlalu terkesan dengan pemergian abangnya disebabkan serangan jantung, Fauzi mengalami trauma sehingga dimasukkan ke hospital pada 1 Syawal 2024 dan dirawat selama tiga hari.
Menurut Fauzi, dia sempat berbual dengan arwah abangnya menerusi panggilan telefon pada sebelah pagi sebelum menerima berita mengejutkan mengenai pemergian insan tersayang itu pada sebelah malam.
“Abang saya meninggal dunia pada 25 Ramadan, iaitu Jumaat terakhir bulan puasa, secara mengejut. Pagi itu kami sempat berbual di telefon, dia tanya bila saya nak pulang berbuka di kampung.
“Selain itu, kami juga ada berbincang mengenai perancangan hari raya. Jadi, bila dapat berita mengatakan dia meninggal dunia, saya sangat terkejut sebab baru sangat berbual dengannya.
“Ada benda yang saya nak berikan kepada arwah, tapi tak kesampaian. Saya juga tak sempat nak mohon maaf kerana sering bergurau kasar dengan arwah,” katanya ketika ditemui di set bazar program Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani Bazar Ramadan di Presint 3, di sini, kelmarin.
Menurut Fauzi, arwah meninggal dunia ketika sedang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.
Arwah merupakan anak keenam daripada 12 beradik, manakala Fauzi ialah anak bongsu dalam keluarga.
Mengulas lanjut, Fauzi berkata, pengalaman kehilangan itu memberi kesan mendalam terhadap emosi dan kesihatannya sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan.
“Itu kenangan (masuk hospital) yang langsung tiada siapa tahu.
“Saya bersyukur kerana isteri banyak membantu mengembalikan semangat saya. Dia bukan sekadar rusuk kiri, tetapi tulang belakang dan juga pembakar semangat saya.
“Apa yang mengubah kehidupan saya hari ini, salah satunya adalah sebab doa dan nasihat isteri,” katanya yang hanya berkongsi keadaan kesihatannya itu dengan keluarga terdekat.
Dalam perkembangan lain, Fauzi bakal muncul sebagai tetamu dalam program realiti, Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani, yang dijayakan pelawak, Zizan Razak.
Rancangan itu kembali dengan musim kedua bermula 18 Februari lalu menerusi saluran Astro Ria. – BH Online –
IMedikel TV






