Home Buletin Semasa PEKERJA TAPAK PEMBINAAN MAUT DIHEMPAP JENGKAUT 

PEKERJA TAPAK PEMBINAAN MAUT DIHEMPAP JENGKAUT 

142
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dihempap bahagian ‘bucket’ sebuah jengkaut dalam kejadian di tapak pembinaan longkang di Jalan Pantai Geting, Pengkalan Kubor, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihak menerima panggilan MERS 999 mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 31 tahun itu sedang menjalankan kerja pemasangan longkang di bahu jalan menghala ke Pantai Geting sebelum sebuah jengkaut yang dikendalikan rakan sekerjanya dipercayai tergelincir.

“Bahagian ‘bucket’ jentera berkenaan telah menghempap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah terlibat.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat. 

“Laporan perubatan mengesahkan punca kematian sebagai kecederaan dalam perut dan kecederaan paru-paru akibat kemalangan di tempat pembinaan (Alleged Constructional Injury With Severe Intraabdominal Injury and Left Lung Contusion),”katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here