ATLANTA: Lelaki bersenjata yang membunuh 23 orang dan mencederakan 22 yang lain dalam insiden tembakan beramai-ramai pada 2019 yang menyasarkan masyarakat Latino di sebuah pasar raya Walmart di Texas, mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol, kata pihak pendakwaan.
Dalam prosiding pada Isnin, Pendakwa Daerah El Paso, James Montoya, membacakan satu per satu nama 23 mangsa yang terkorban serta 22 yang cedera, lapor media tempatan.
Montoya memaklumkan bulan lalu bahawa beliau tidak lagi akan menuntut hukuman mati sekiranya Patrick Crusius, 26, mengaku bersalah.
“Saya tahu ramai yang mahu kami terus menuntut hukuman mati terhadap penembak itu,” kata Montoya dalam satu kenyataan pada Isnin, sambil menambah bahawa kebanyakan keluarga mangsa mahu kes itu diselesaikan segera.
“Selepas hampir enam tahun, ramai keluarga hanya mahu perkara ini berakhir. Dan kini, ia sudah selesai,” ujarnya.
Hakim Sam Medrano menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kepada Crusius atas pertuduhan membunuh beramai-ramai, serta hukuman penjara seumur hidup untuk setiap 22 pertuduhan serangan teruk menggunakan senjata maut, menurut kenyataan pendakwa raya.
Lebih 40 mangsa dan ahli keluarga mangsa yang memohon untuk memberikan kenyataan impak telah mula berucap di mahkamah selepas hukuman dijatuhkan. Kenyataan mereka dijangka berterusan sehingga Rabu, kata pihak pendakwa.
Crusius sebelum ini mengaku bersalah terhadap 90 pertuduhan Persekutuan termasuk jenayah kebencian dan kesalahan berkaitan senjata dalam serangan pada 3 Ogos 2019 di bandar sempadan El Paso, dan dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup berturut-turut.
Menurut pendakwa persekutuan, Crusius mengaku bahawa dia menyasarkan mangsa berdasarkan asal-usul Hispanik mereka dan berniat untuk membunuh setiap orang yang ditembaknya. -Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






