Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang wanita berusia 20 tahun maut selepas motosikal dinaikinya dilanggar dari belakang dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di hadapan Ban Chu Bee Sdn. Bhd., Kota Bharu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa merupakan pembonceng motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang wanita Melayu berusia 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, motosikal berkenaan dalam perjalanan dari arah Salor menghala ke Batu 4 dan sedang bergerak lurus di laluan yang sah ketika kejadian.
Menurutnya, sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang lelaki Melayu berusia 20-an datang dari arah belakang sebelum melanggar bahagian belakang motosikal Yamaha Y15ZR terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua penunggang dan pembonceng terjatuh di atas jalan.
“Kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, kaki dan badan sebelum mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HRPZ II,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pembonceng Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 1.30 pagi oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima makluman daripada Gerakan Kota Bharu berhubung kemalangan maut itu kira-kira jam 1.05 pagi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Sharif Mohd Ridhuan Sharif Hassan di talian 09-7752315.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, selain mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa.
IMedikel TV






