Home Buletin Semasa YDSM ANGKAT MARTABAT PENDIDIKAN STEM MELALUI PERTANDINGAN INOVATOR MUDA 

YDSM ANGKAT MARTABAT PENDIDIKAN STEM MELALUI PERTANDINGAN INOVATOR MUDA 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KUALA TERENGGANU: Di sebalik usaha berterusan memperkasakan pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah, penyediaan platform yang membolehkan murid menterjemah pembelajaran di bilik darjah kepada penyelesaian dunia sebenar dilihat sama penting dalam melahirkan generasi berdaya saing.

Bagi merealisasikan usaha itu, sebuah yayasan amal iaitu Yayasan DiRaja Sultan Mizan di bawah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) berganding bahu untuk penganjuran kali pertama Pertandingan Inovator Muda YDSM yang menyasarkan penyertaan dari murid-murid sekolah seluruh negeri ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof melihat penganjuran ini mampu memberi impak yang besar bagi pembangunan dan kemajuan buat sesuatu negeri mahupun negara pada masa hadapan.

“Matlamat utama YDSM adalah untuk mempertingkatkan, memperkasakan dan memperhebat taraf sosio ekonomi penduduk Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.

“Bila kita bercakap tentang sosio ekonomi ia meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan. Dalam sistem pendidikan moden ini kita sedia maklum, pentingnya TVET.

“Peluang sama rata juga sewajarnya diberikan kepada setiap murid-murid sekolah ini tanpa mengira latar belakang sesuatu sekolah mahupun institusi atau aliran sekolah itu di mana kita boleh lihat pada hari ini sekolah beraliran agama juga turut bertanding.

“Ianya suatu penanda aras yang baik untuk usaha bersama ini,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyaksikan pertandingan itu yang berlangsung di sini pada Ahad lalu.

Beliau berkata pertandingan itu juga turut mencipta momentum tersendiri setelah menerima 203 penyertaan daripada pelbagai peringkat sekolah termasuk sekolah beraliran pendidikan agama dari seluruh daerah dalam negeri ini.

Beliau berkata menariknya, penyertaan itu bukan sahaja datang dari kawasan bandar malah turut membabitkan sekolah luar bandar termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Hulu Besut dan SK Kuala Berang di Hulu Terengganu, manakala SK Pulau Perhentian pula perlu merentasi laut untuk hadir bertanding.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim menekankan bahawa prestij penganjuran juga adalah penglibatan daripada barisan juri-juri pertandingan yang hadir dari agensi kementerian berkaitan, pemegang taruh sektor industri dan juga pendidikan untuk menilai setiap pembentangan produk reka cipta dan inovasi dalam pertandingan ini.

“Walaupun kategori yang dipertandingkan itu melibatkan produk atau inovasi berkaitan dengan kumpulan sasar orang kelainan upaya, warga emas dan keselamatan dalam kehidupan seharian berteraskan kecerdasan buatan(AI).

“Ianya masih mampu untuk diketengahkan oleh murid-murid sekolah sekaligus memberi satu penanda aras bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (STEM) itu sendiri,” ujarnya.

Sebanyak 203 pembentangan membabitkan lima kategori yang dipertandingkan yang berlangsung selama sehari di PSKT, Kuala Terengganu di mana hanya lima penyertaan yang terbaik bagi setiap kategori sahaja terpilih untuk pencalonan akhir bagi merebut Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang akan diumumkan pada penghujung tahun ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here