Home Buletin Semasa KES DAKWAAN PUKUL ANGGOTA POLIS DI KLIA: 25 SAKSI DIAMBIL KETERANGAN –...

KES DAKWAAN PUKUL ANGGOTA POLIS DI KLIA: 25 SAKSI DIAMBIL KETERANGAN – KPN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seramai 25 saksi telah dirakam percakapan berhubung insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd yang didakwa mengasari dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan polis daripada kedua-dua anggota berkenaan susulan dakwaan mereka dikasari secara fizikal dalam insiden itu.

“Siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata, saksi yang telah dirakam percakapan terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memihak, berasaskan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek kejadian diteliti secara menyeluruh.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Oktober (hari ini)i untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan Peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan” katanya.

Kes disiasat di bawah  Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.

Mohd Shuhaily berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta KDN dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here