Home Buletin Semasa PEGUAM TAWAR KHIDMAT PRO BONO KES KEMALANGAN LIBATKAN GURU, SERU PENDEKATAN KEMANUSIAAN

PEGUAM TAWAR KHIDMAT PRO BONO KES KEMALANGAN LIBATKAN GURU, SERU PENDEKATAN KEMANUSIAAN

155
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang peguam menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada semua pihak terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan seorang guru wanita yang dipercayai melanggar dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah semalam.

Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata sebagai pengamal undang-undang jenayah, kes itu perlu dilihat bukan sahaja dari sudut perundangan, tetapi juga aspek moral dan kemanusiaan.

“Hukuman penjara tidak semestinya wajar dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kecuaian sekali seumur hidup tanpa niat jenayah.

“Penjara sepatutnya untuk penjenayah tegar atau mereka yang berniat jahat, bukan bagi individu yang ditimpa musibah akibat kesilapan teknikal atau kecuaian tanpa unsur mens rea,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Saiful Adli yang juga Peguambela dan Peguamcara berkata, kes itu juga berbeza dengan kes pemandu mabuk atau lumba haram yang melibatkan elemen pilihan, sebaliknya insiden tersebut merupakan kemalangan tragis yang tidak dirancang.

Sehubungan itu, beliau melalui firma guamannya, Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, menawarkan khidmat pro bono kepada guru terlibat bagi memastikan haknya terpelihara serta kepada keluarga mangsa untuk memberi kefahaman mengenai proses undang-undang.

Katanya, tawaran itu merangkumi khidmat nasihat dari peringkat awal siasatan sehingga kepada keputusan pendakwaan oleh pihak berkuasa dan prosiding mahkamah sekiranya ada pertuduhan.

Hari ini, seorang guru wanita berusia 57 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar perempuan, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam.

Insiden itu turut mengakibatkan seorang lagi pelajar cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab Il di sini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here