Home Hiburan PEGANG WATAK UTAMA

PEGANG WATAK UTAMA

212
0

BERMULA dengan menghasilkan video kandungan di TikTok, siapa sangka, perlahan-lahan muncul minat untuk mencuba nasib dalam lakonan.

Itu kisah yang dikongsikan pelakon remaja, Karl Dannish yang kini sedang menjalani latihan pementasan teater Dang Anum (The Untold Story).

Bagi pelakon berusia 19 tahun ini, peluang untuk menggalas tanggungjawab untuk memegang watak Sultan Mahmud Shah II ini satu peluang yang tidak pernah dijangka, lebih-lebih lagi apabila dapat bergandingan dengan pelakon pujaannya.

“Ini teater kedua yang membabitkan saya, tetapi kali pertama saya membawa watak utama sebagai Sultan. Sebelum ini, saya pernah membintangi teater sama pada tahun lalu tetapi sebagai hulubalang, manakala watak Sultan dibawa oleh Along Eyzendy.

“Saya ada merujuk kepada Along juga, tetapi pengarah minta agar saya membawakan watak ini dengan cara saya sendiri. Impian saya adalah untuk berlakon dengan Along.

“Tak sangka pula, menerusi teater ini yang pernah dipentaskan tahun lalu, saya dapat peluang itu. Memang saya tak sangka sangat. Saya akui memang ada rasa gemuruh juga lebih-lebih lagi apabila tahun ini, saya membawakan watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

“Tambahan pula, dia dah bawakan watak Sultan itu dengan sangat hebat sebelum ini. Tapi, dia tak lokek untuk berkongsi ilmu. Dia pesan kepada saya, bawa watak itu mengikut cara saya sendiri,” katanya.

Menurut Karl atau nama sebenarnya Muhammad Dannish Haiqal, dia juga merujuk filem-filem lama untuk membiasakan diri bagi melantunkan dialog sebagai Sultan.

“Rujukan saya banyak daripada filem-filem lama dan salah satunya, filem Puteri Gunung Ledang. Yang mencabarnya, sukar untuk saya mencari maklumat mengenai perwatakan Sultan yang masih remaja. Selain itu, cabaran lain adalah untuk menghayati watak itu,” katanya.

Bekerja sebagai tukang gunting di Putrajaya, Karl memulakan langkah seninya di platform media sosial dan pernah menjadi pelakon tambahan untuk beberapa karya.

“Asalnya, saya suka menghasilkan kandungan untuk TikTok. Kandungan saya lebih kepada video-video saya menggunting rambut. Bermula dari situ, saya mula rasa seronok pula untuk berlakon. Jadi, saya cuba nasib.

“Saya bermula sebagai pelakon tambahan untuk drama-drama tempatan antaranya, drama YTJT dan Peristiwa Ramadan. Kalau filem pula, yang terbaharu, saya ada terbabit dalam filem Game of Life.

“Sekarang, tumpuan saya sepenuhnya kepada teater ini dan bos di tempat kerja saya pun berikan saya cuti selama tiga bulan,” katanya.

Karl berharap teater Dang Anum (The Ultold Story) ini bakal membuka jalan buatnya untuk pergi lebih jauh dalam bidang lakonan.

“Sekiranya ada rezeki untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang lakonan, saya tak tolak. Minat saya lebih ke arah drama dan juga aksi. Selain itu, saya juga ada asas seni bela diri seperti tomoi dan silat. Harapan saya, semoga teater ini akan membuka lebih luas pintu rezeki buat saya dalam bidang lakonan,” katanya.

Selain Karl dan Along, teater arahan Amirul Haswendy Ashari itu juga membariskan barisan pelakon antaranya Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin dan ramai lagi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here