PUTRAJAYA: Bagi Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, PAS adalah parti politik yang patut menerajui Perikatan Nasional (PN) kerana ia lebih kuat sekali gus dapat memastikan kestabilan PN.
Memetik lporan Berita Harian, dalam kiriman di Facebook, Marzuki yang berkhidmat ketika Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, berkata persoalan sama ada masyarakat bukan Islam bersedia menerima PAS atau sebaliknya perlu dikesampingkan dahulu.
“Apabila PAS memimpin, inilah kali pertama dalam sejarah politik negara kita parti Islam mengetuai sebuah gabungan nasional.
“Ini satu eksperimen baharu. Sudah tentulah ada pihak yang bimbang. Ada pihak yang gusar. Ada pihak yang mengkritik.
“Ada masanya kritikan disampaikan dengan lembut. Ada masanya pedas. Itu demokrasi,” katanya.
Beliau turut menyarankan pemimpin PAS untuk menerima kritikan yang bakal dilontarkan dan tidak melabel pengkritik dengan bermacam label, selain mengakui beliau tidak tahu sama ada eksperimen itu akan berjaya atau sebaliknya.
Desakan bertalu-talu MP PAS punca Muhyiddin letak jawatan pengerusi PN
Dalam pada itu, Marzuki berkata, peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember lalu dibuat selepas mendengar gerak hatinya.
Menurutnya, Presiden BERSATU itu pernah beberapa kali meminta pandangannya berhubung kedudukan beliau dalam PN, sebelum ini.
Apabila ditanya Muhyiddin, beliau sering menyarankan supaya bekas Perdana Menteri itu melepaskan jawatannya dalam gabungan parti komponen berkenaan.
Justeru, beliau berkata, desakan bertalu-talu Ahli Parlimen PAS supaya Muhyiddin berundur hanyalah asbab kepada keputusan itu, sebaliknya bekas bosnya itu membuat pilihan yang rasional untuk dirinya.
“Sayalah orang yang paling gembira apabila Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan. Saya bersyukur kepada Allah. Dalam perbualan antara kami sebelum ini pun, Tan Sri Muhyiddin pernah beberapa kali bertanya pandangan saya mengenai kedudukannya dalam PN.
“Jawapan saya senang saja. Berhenti sajalah Tan Sri. Sebab-sebabnya tak perlu saya hurai. Cukup saya katakan berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” katanya.
Terima mesej Muhyiddin pada 29 Disember
Melalui hantaran itu juga, Marzuki berkata, beliau menerima mesej ringkas daripada Muhyiddin supaya menyediakan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN pada malam 29 Disember lalu, sebelum beliau membaca mesej-mesej dalam kumpulan WhatsApp Ahli-ahli Parlimen PN yang tular.
Beliau berkata, melalui kumpulan WhatsApp itu, ada desakan daripada Ahli-ahli Parlimen PAS supaya Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.
Muhyiddin menjawab ringkas bahawa beliau bersedia untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa sekiranya dikehendaki oleh Majlis Tertinggi (MT) PN selain akan membawa isu itu ke MT PN.
Peletakan jawatan Pengerusi PN perlu disahkan dalam MT
Marzuki berkata, itu adalah kaedah yang digariskan dalam Perlembagaan PN iaitu Pengerusi PN dilantik oleh MT PN dan peletakan jawatannya hendaklah diluluskan oleh MT PN.
“Tetapi ada Ahli Parlimen PAS yang tidak berpuas hati dengan jawapan Tan Sri Muhyiddin. Ahli Parlimen ini mendesak Tan Sri Muhyiddin supaya meletak jawatan serta-merta tanpa membawanya ke MT PN. Beberapa Ahli Parlimen lain dari parti PAS bersetuju dengan desakan ini.
“Maka Tan Sri Muhyiddin menjawab ringkas beliau akan meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengumuman peletakan jawatan Muhyiddin itu diumumkan terlebih dahulu oleh Ketua Penerangan PAS.
“Ya, tentu sekali ada pihak yang mahukan Tan Sri Muhyiddin terus memimpin. Itu hak mereka untuk menyatakan hasrat. Tetapi meletakkan jawatan juga adalah hak Tan Sri Muhyiddin. Hormatilah hak beliau,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






