Home Sukan PALMER PECAH REKOD HATRIK LIGA

PALMER PECAH REKOD HATRIK LIGA

137
0

WOLVERHAMPTON: Cole Palmer mencipta sejarah Liga Perdana Inggeris apabila muncul pemain pertama menjaringkan hatrik di babak pertama dalam tiga perlawanan berbeza, selepas sebelum ini melakukannya menentang Everton dan Brighton & Hove Albion.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, bintang Chelsea itu juga kini menjadi pemain paling banyak meledak hatrik Liga Perdana Inggeris dalam sejarah kelab berkenaan selepas mengumpul empat hatrik keseluruhan, mengatasi semua pemain The Blues terdahulu.

Palmer membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 susulan kekasaran ke atas Joao Pedro, sebelum mengulangi kejayaan dari titik putih pada minit ke-35 selepas rakan sepasukan sama sekali lagi dijatuhkan.

Hatriknya dilengkapkan dengan jaringan padang hasil hantaran Marc Cucurella, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan.

Palmer turut menepis spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan keluar kelab apabila meraikan gol pertamanya dengan menutup telinga sebelum menghembuskan ciuman kepada penyokong Chelsea.

Terdahulu, timbul laporan mendakwa Palmer mempertimbangkan perpindahan kembali ke Manchester bersama kelab zaman kecilnya, Manchester United.

Namun, Palmer menegaskan fokusnya kekal bersama Chelsea.

“Semua orang suka bercakap perkara tidak masuk akal, bukan? Saya tidak beri banyak perhatian.

“Saya nampak perkara itu, tetapi saya datang daripada latar belakang yang kuat, jadi saya tidak ambil peduli,” katanya kepada BBC Match of the Day.

Palmer turut memuji pendekatan Rosenior yang menurutnya memberi kebebasan dan keyakinan kepada pemain.

“Kehidupan di bawah Liam memang hebat. Dia beri kami keyakinan, biarkan kami jadi diri sendiri dan bermain dengan bebas.

“Apabila saya kembali cergas sepenuhnya, anda akan nampak versi terbaik saya,” katanya.

Musim Palmer sebelum ini dibelenggu kecederaan dengan pemain berusia 21 tahun itu terlepas 21 perlawanan dalam semua kejohanan.

Namun, dia kembali beraksi dalam empat perlawanan terakhir dan sudah memulakan dua aksi Liga Perdana Inggeris walaupun mengakui masih belum berada pada prestasi terbaik.

Di bawah pengendali baharu, Liam Rosenior, Chelsea kini merekodkan empat kemenangan liga berturut-turut, bangkit kukuh selepas tersingkir dalam separuh akhir Piala Liga menentang Arsenal pada Selasa.

Chelsea kini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris dengan 43 mata, empat mata di hadapan juara bertahan Liverpool yang berada di tempat keenam. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here