Home Buletin Semasa MEKANIK PARAH, LETUPAN DISYAKI AKIBAT KEBOCORAN GAS DI BENGKEL

MEKANIK PARAH, LETUPAN DISYAKI AKIBAT KEBOCORAN GAS DI BENGKEL

230
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang mekanik mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan dalam kejadian letupan di sebuah bengkel kereta di Kampung Air Merbo, Jedok, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata, hasil soal siasat awal bersama ahli keluarga mangsa mendapati, kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara semasa mangsa sedang membaiki sebuah kenderaan.

“Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di bengkel tersebut dan tiada saksi bebas yang berada di lokasi semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah dan keadaannya dilaporkan masih belum stabil.

Katanya, mangsa bekerja sebagai mekanik dan dipercayai sedang bekerja seorang diri di bengkel tersebut.

”Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK serta pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dimaklumkan dan akan menjalankan siasatan serta tindakan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

”Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here