Home Buletin Semasa DUA LELAKI DITEMUI LEMAS DI SUNGAI KELANTAN

DUA LELAKI DITEMUI LEMAS DI SUNGAI KELANTAN

163
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Dua lelaki ditemui maut dipercayai akibat lemas selepas mayat mereka ditemukan terapung di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima dua laporan berhubung penemuan mayat berkenaan masing-masing pada jam kira-kira 7.00 malam dan 7.55 malam, pada Jumaat lalu.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati kedua-dua mayat lelaki itu terapung di tepi tebing sungai dengan jarak kira-kira 100 meter antara satu sama lain.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh kedua-dua mangsa. Mangsa masing-masing berusia 31 dan 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

“Hasil pengesahan pegawai perubatan mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat lemas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Mohd Khairi turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika berada di kawasan sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here