Kuala Lumpur : Penyanyi muda, Auddra Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Odda menafikan dirinya sekadar menggunakan tiket anak selebriti untuk mencipta nama.
Memetik laporan Harian Metro, Bakat berusia 17 tahun ini menolak persepsi segelintir pihak yang melabelkan perjalanannya terbentang luas tanpa perlu berusaha keras.
Anak kepada selebriti terkenal Sharifah Shahirah dan Ijoy ini menegaskan dia tetap perlu menjalani proses uji bakat seperti pendatang baharu lain.
Malah, penyanyi ini turut merasai pengalaman dimarahi pengarah ketika berada di set penggambaran demi mematangkan diri.
“Banyak netizen kata status anak selebriti ini seperti ‘nepo baby’ menjadikan semua kerja mudah tetapi realitinya ia tidak benar sama sekali.
“Saya tetap kena lalui pelbagai sesi uji bakat dan tidak pernah mendapat tawaran secara automatik hanya kerana saya anak Sharifah Shahirah,” katanya.
Odda sedar dia memikul tanggungjawab besar untuk membuktikan kemampuan sebenar tanpa dibayangi nama besar keluarganya.
“Kalau pergi ke set dan pengarah marah, saya kena angguk sahaja menerima teguran itu persis apa yang mak saya lalui dahulu.
“Saya perlu bekerja keras kerana status keturunan tidak menjadikan seseorang itu lahir terus sempurna dan serba tahu,” katanya.
Pelantun lagu Gelanggang Rasa ini juga menolak perbandingan tidak adil antara bakatnya dengan pengalaman ibunya.
“Tolong jangan bandingkan saya dengan mak kerana usianya kini 51 tahun manakala saya baru berusia 17 tahun.
“Kita semua harus bertenang kerana saya masih dalam proses pembelajaran untuk menyesuaikan diri dalam arena seni ini,” ujarnya.-HMetro Online-
IMedikel TV






