Home Luar Negara GEMPA BUMI LANDA ACEH, TIADA ANCAMAN TSUNAMI DIREKODKAN

GEMPA BUMI LANDA ACEH, TIADA ANCAMAN TSUNAMI DIREKODKAN

Jakarta: Gempa bumi berukuran 5.5 magnitud yang melanda kawasan daratan di Aceh, Indonesia pada Rabu tidak mencetuskan ancaman tsunami, manakala dua gempa susulan direkodkan beberapa minit selepas gegaran utama.

Memetik laporan Harian Metro, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 11.18 pagi waktu tempatan pada kedalaman sembilan kilometer (km), dengan pusat gempa terletak di darat kira-kira 36 km di timur laut Gayo Lues.

“Pemodelan tsunami menunjukkan gempa bumi itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami,” menurut kenyataan agensi berkenaan.

Setakat 11.30 pagi waktu tempatan, BMKG merekodkan satu gempa awal berukuran 3.8 magnitud dan dua gempa susulan.

Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman cetek dan dipercayai dicetuskan oleh aktiviti Sesar Oreng, manakala analisis mendapati sesar itu bergerak secara mendatar, menurut agensi itu.

Gegaran paling kuat dirasai di Gayo Lues, selain beberapa kawasan lain di Aceh termasuk Aceh Barat Daya, Aceh Tenggara, Aceh Utara, Lhokseumawe, Aceh Timur, Bener Meriah dan Aceh Tengah.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Sumatera Utara.

Di Malaysia, gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang termasuk Kajang, Subang Jaya dan Bandar Tasik Selatan, menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa bangunan selepas menerima laporan orang ramai.

JBPM kemudian mengesahkan bangunan yang diperiksa selamat diduduki dan tiada kerosakan struktur dikesan.

BMKG memaklumkan pemantauan terhadap aktiviti gempa susulan akan diteruskan dan menasihati orang ramai supaya bertenang, menjauhi bangunan yang rosak serta merujuk maklumat menerusi saluran komunikasi rasminya.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here