EAST RUTHERFORD: Pengendali Norway, Stale Solbakken mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan besar dalam aksi pembukaan Piala Dunia apabila berdepan Senegal dalam perlawanan kedua Kumpulan I, awal pagi esok.
Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro, Norway memulakan kempen mereka dengan bergaya apabila menewaskan Iraq 4 1 menerusi dua jaringan bintang sensasi, Erling Haaland.
Kemenangan itu meletakkan Norway di tangga teratas kumpulan mengatasi Perancis berdasarkan perbezaan gol dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia selepas 28 tahun.
Bagaimanapun, Solbakken percaya cabaran sebenar menanti apabila berdepan Senegal yang terdesak memburu mata selepas tewas 3 1 kepada Perancis dalam aksi pembukaan.
“Saya tidak takut menghadapi Senegal tetapi saya sangat menghormati mereka.
“Mereka pasukan yang pantas dan mempunyai kualiti tinggi. Kami perlu bersedia untuk mengekang pemain sayap mereka serta berhati hati dengan serangan balas,” katanya.
Menurutnya, walaupun Sadio Mane menjadi ancaman utama Senegal, perkara paling penting adalah memastikan Norway terus bermain mengikut identiti sendiri.
“Sadio Mane adalah pemain hebat, tetapi yang paling penting bagi saya ialah kami terus mengekalkan identiti pasukan dan bermain mengikut kekuatan kami,” katanya.
Norway mara ke Piala Dunia dengan rekod sempurna apabila memenangi semua lapan perlawanan kelayakan sambil menjaringkan 37 gol.
Kemenangan ke atas Senegal akan meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk memburu status juara kumpulan menjelang aksi terakhir menentang Perancis.
Namun Solbakken enggan terlalu memikirkan soal kira kiraan atau peluang ke pusingan seterusnya.
“Kami tidak membuat sebarang pengiraan.
“Kami hanya mahu menghasilkan satu lagi persembahan yang baik dan terus memperbaiki pasukan. Soal kelayakan boleh difikirkan kemudian,” katanya.
Tumpuan sekali lagi akan terarah kepada Haaland yang meledak dua gol ketika menentang Iraq.
Solbakken berkata penyerang Manchester City itu berada dalam keadaan terbaik, namun kejayaannya tetap bergantung kepada sokongan rakan sepasukan.
“Haaland berada pada tahap yang sangat baik dan saya harap lebih banyak perkara positif akan datang daripadanya.
“Dia memerlukan bantuan daripada pasukan dan saya berharap kami dapat membantunya dengan sokongan yang baik.
“Semoga dia terus menggembirakan kami dengan jaringan gol,” katanya.
Dalam pada itu, Solbakken turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan padang di Stadium New York/New Jersey.
Menurutnya, permukaan padang yang keras dan rumput yang pendek mungkin menyukarkan pasukan yang gemar menguasai permainan.
“Padang ini sedikit seperti rumput tiruan kerana keras di bahagian bawah.
“Jika keadaan terlalu kering ia boleh menjadi masalah, tetapi ramalan cuaca menunjukkan hujan dan saya harap ia membantu. Apa pun, kami perlu menyesuaikan diri kerana tiada apa yang boleh dilakukan mengenainya,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






