Home Hiburan SI CILIK ANGGREK DAN ADIRA JUARA TTMM2

SI CILIK ANGGREK DAN ADIRA JUARA TTMM2

27
0

SHAH ALAM: Bakat cilik berusia sembilan tahun, Anggrek bersama pengurusnya yang juga penyanyi, Adira Suhaimi dinobatkan sebagai juara program realiti, Talk To My Manager (TTMM) musim kedua pada pentas akhir yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, kemenangan itu diraih hasil persembahan konsisten yang dipamerkan sepanjang 10 minggu pertandingan sekali gus meletakkan pasangan berkenaan sebagai pilihan utama dalam program berkonsep hiburan keluarga dan pertandingan bakat itu.

Sebagai juara, Anggrek dan Adira membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, emas, pakej penginapan, peruntukan pengurusan dan pemasaran, rakaman single serta trofi.

Pada pentas akhir itu, Anggrek mempersembahkan dua lagu iaitu Aku Stacy dan Sutera secara duet bersama Aisha Retno, sekali gus mengetepikan cabaran empat finalis lain.

Tempat kedua menjadi milik Hussain bersama pengurusnya yang juga penyanyi, Jamilulhayat.

Walaupun tampil dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Sumpah dan Cinta Matiku serta Kisah Ku Inginkan secara duet bersama Datin Alyah, pasangan itu terpaksa berpuas hati di kedudukan naib juara. 

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, emas, pakej penginapan, peruntukan pengurusan dan pemasaran, rakaman single serta trofi. 

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Datuk Seri Vida dan Cik B yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, emas, pakej penginapan, peruntukan pengurusan dan pemasaran, rakaman single serta trofi.

Pasangan Datuk A Aida dan Azeva menduduki tempat keempat, manakala Safura dan Kim Khairii berada di kedudukan kelima dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej penginapan serta trofi.

Dalam perkembangan sama, anugerah Manager Paling Perform menjadi milik Jamilulhayat dan Hussain, manakala Adira dan Anggrek menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie yang turut disertakan hadiah wang tunai RM10,000.

Pentas akhir TTMM 2 menguji lima finalis menerusi dua tugasan iaitu Lagu Solo Bintang Talk To My Manager dan Lagu Duet Bintang Talk To My Manager.

Selain lima pasangan finalis, peserta lain yang turut bersaing sepanjang musim ini ialah Althea dan Nana Mahazan; Viviana dan Ani Mayuni; Fariedz Fazly dan Datuk Fazley Yaakob; Ammara dan Azad Jazmin serta Ratu dan Linda Jasmine.

TTMM 2 dikendalikan oleh Datuk Aznil Nawawi dengan barisan juri tetap terdiri daripada Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, manakala Datuk Syafinaz Selamat serta Hael Husaini tampil sebagai juri jemputan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here