Oleh: Wartawan IMedikel TV
KUALA TERENGGANU: Selepas lapan tahun membina komuniti tenis di Ayer Keroh, Melaka, Proz United kini membuka lembaran baharu apabila membawa pasukan mereka keluar dari negeri itu untuk menyertai Kejuaraan Tenis Terbuka Terengganu 2026.
Kelab yang pada awalnya bermula sebagai komuniti kecil untuk menghimpunkan pemain yang berkongsi minat terhadap tenis itu menjadikan Terengganu sebagai destinasi pertama dalam usaha meneroka kejohanan di luar Melaka, sekali gus memberi cabaran baharu kepada barisan pemainnya.
Kapten pasukan, Jailani Nordin, 50, berkata faktor jarak bukan halangan untuk beliau bersama enam rakan sepasukannya hadir ke negeri Pantai Timur itu bagi menguji kemampuan dalam persaingan lebih kompetitif.

“Faktor usia bukan halangan walaupun hadir berstatus kelab bukan pilihan untuk kejuaraan ini namun kami tetap teruja untuk beraksi di sini untuk jelajah pertama kami sejak penubuhan.
“Sudah tentu setiap pasukan bertanding ingin menaiki podium, begitu juga kami namun sasaran awal untuk kami sekurang-kurangnya meletakkan pasukan dalam kelompok 5 terbaik untuk kejuaraan ini,” ujarnya.
Jelasnya, Proz United mempertaruhkan tujuh pemain untuk berentap dalam semua kategori yang dipertandingkan, termasuk kategori 50 tahun ke atas, sebagai usaha memberi peluang sama rata kepada setiap pemain dari Melaka itu untuk terus beraksi secara kompetitif.
Menurut Jailani, penyertaan tersebut turut menjadi pengalaman baharu buat Proz United selepas lapan tahun lebih banyak beraksi di sekitar Melaka, selain membuka ruang kepada mereka untuk bertemu pemain dan pasukan dari negeri lain.
Kejuaraan Tenis Terbuka Terengganu 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 2 Oktober itu mempertaruhkan tiga kategori berpasukan iaitu Lelaki Terbuka, 40 tahun ke atas dan 50 tahun ke atas, dengan hadiah wang tunai ditawarkan kepada setiap pemenang.
IMedikel TV






