Home Buletin Semasa JPJ MELAKA PERHEBAT OPERASI PEWA, KENDERAAN UBAH SUAI EKSTREM DAN PESALAH JALAN...

JPJ MELAKA PERHEBAT OPERASI PEWA, KENDERAAN UBAH SUAI EKSTREM DAN PESALAH JALAN RAYA JADI SASARAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka meneruskan pelaksanaan Operasi PeWa secara berterusan di sekitar Bandar Melaka sebagai langkah membanteras pelbagai kesalahan jalan raya yang masih dilakukan segelintir pengguna.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JPJ Negeri Melaka semalam, operasi berkenaan dilaksanakan secara berfokus dan bukan bersifat bermusim, selain diperkukuh melalui penguatkuasaan statik di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap optimum.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati pelbagai kesalahan telah dikesan, termasuk kesalahan di bawah Operasi PeWa, pelanggaran syarat penggunaan kenderaan serta pengubahsuaian kenderaan secara keterlaluan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bagi kesalahan di bawah Operasi PeWa, tindakan sita kenderaan akan dikenakan terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, saman yang dikeluarkan bagi kesalahan tersebut tidak boleh diselesaikan melalui kompaun, sebaliknya perlu dibawa ke Mahkamah Majistret untuk tindakan dan hukuman lanjut.

“Pesalah perlu menyelesaikan kes di mahkamah dengan kadar segera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang,” jelas kenyataan itu.

Dalam operasi sama, tindakan tegas turut diambil terhadap pemilik kenderaan yang melakukan pengubahsuaian secara ekstrem sehingga menyalahi peraturan serta berpotensi mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

JPJ berkata, selain tindakan sita kenderaan, saman mahkamah turut dikeluarkan terhadap pemilik atau pemandu yang didapati melakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

Jabatan itu menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan awam, mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya lain serta mencemarkan budaya pemanduan berhemah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here