MUNICH JERMAN: Penjaga gol veteran Manuel Neuer dari Bayern Munich bersiap sedia untuk aksi menentang Real Madrid dalam suku akhir Liga Juara-Juara kedua di laman sendiri, yang mungkin menjadi musim terakhirnya sebelum melabuhkan tirai karier.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro walaupun sudah tidak lagi seagresif dahulu, Neuer yang pernah dua kali menjulang Liga Juara-Juara tampil cemerlang dalam kemenangan 2-1 Bayern di Madrid pada perlawanan pertama.
Dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, Neuer melakukan sembilan aksi penyelamatan dan berjaya menyekat ancaman Kylian Mbappé dan Vinícius Júnior untuk sebahagian besar permainan.
Neuer yang berusia 40 tahun pada Mac lalu masih mempunyai kontrak hingga akhir musim ini.
Bayern bersedia menawarkan lanjutan setahun lagi, namun penjaga gol itu masih belum membuat keputusan muktamad mengenai masa depannya.
Pemenang Piala Dunia 2014 itu juga bergelut dengan kecederaan otot dalam dua musim terakhir.
Musim ini, beliau terlepas 11 perlawanan akibat masalah berulang pada otot betis.
Neuer sudah mengesahkan tidak akan terlibat dalam Piala Dunia musim panas ini, dan menamatkan musim dengan kejuaraan Liga Juara-Juara ketiga serta gelaran Bundesliga ke-13 akan menjadi penutup sempurna kariernya.
Sejak ketibaannya pada 2011, bersama nama besar seperti Thomas Müller, Philipp Lahm dan Bastian Schweinsteiger, Bayern berubah menjadi kuasa besar Eropah.
Bayern tidak pernah memenangi lebih daripada tiga kejuaraan liga berturut-turut sebelum Neuer tiba, namun sejak itu hanya dua kali mereka gagal menjadi juara dalam 15 musim berikutnya.
Dua daripada enam trofi Liga Juara-Juara Bayern turut dimenangi ketika Neuer menjadi penjaga gol utama.
Walaupun sudah 15 tahun bersama kelab, kehebatan Neuer masih tidak pudar. Ketua eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen berkata:
“Kami ada sesuatu yang Real tidak ada — penjaga gol bertaraf dunia kami, faktor X kami.”
Bek tengah Jonathan Tah pula berkata: “Adakah anda terkejut? Dia memang luar biasa, terutama dengan penyelamatan dibuatnya. Ia bukan sesuatu yang patut diambil ringan, tetapi bagi dia ia seperti rutin harian.”
Aksi penyelamatan Neuer sering menjadi tontonan utama, namun kepimpinannya juga penting dalam membantu Bayern kembali bersaing di peringkat tertinggi selepas hanya menduduki tempat ketiga Bundesliga 2023-24.
Pengurus Bayern, Vincent Kompany, turut memuji peranannya selepas aksi pertama.
“Manu hanya perlu bercakap satu ayat dan dia sudah boleh menyusun semula pasukan. Sebab itu peranannya sebagai pemimpin sama penting dengan apa yang dia lakukan di atas padang,” katanya.
“Dia memudahkan kerja saya pada awalnya lebih daripada yang saya jangka.”
Menjelang aksi kedua pada awal pagi Khamis, Neuer satu-satunya pemain Bayern semasa yang pernah menewaskan Real Madrid dalam format dua perlawanan. Sejak kemenangan ke atas mereka pada separuh akhir 2012, Bayern gagal menewaskan Real dalam lapan pertemuan sebelum minggu lalu.
Neuer juga masih dibayangi detik pahit dua tahun lalu apabila Bayern hampir mara ke final tetapi kesilapan beliau membuka ruang kepada gol penyamaan Real sebelum mereka disingkirkan.
Walaupun mendahului agregat, Bayern tetap berhati-hati kerana kedua-dua pasukan sudah bertemu 29 kali, rekod pertemuan paling banyak dalam bola sepak Eropah.
Real pula mengalami satu lagi kemerosotan di La Liga tetapi pemain Bayern tahu pasukan Sepanyol itu sering berubah menjadi lebih berbahaya dalam Liga Juara-Juara.
Joshua Kimmich berkata: “Tidak kira bentuk semasa Mbappé dan rakan-rakan, apabila Liga Juara-Juara, mereka akan tetap tampil berbeza.”
Leon Goretzka pula menambah:
“Kami tahu ini tugas yang sangat sukar. Kami tahu betapa cepat mereka boleh mencipta peluang gol. Kami tahu apa yang akan dihadapi.” – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






