Home Buletin Semasa PENTAULIAHAN ADI PERKUKUH EKOSISTEM TVET KELANTAN – KP JPK

PENTAULIAHAN ADI PERKUKUH EKOSISTEM TVET KELANTAN – KP JPK

169
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terus memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kelantan menerusi pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI) kepada beberapa institusi dan pemain industri di negeri ini.

Ketua Pengarah JPK, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Dr. Kamaruzaman Md. Ali berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan latihan kemahiran yang dilaksanakan memenuhi standard ditetapkan serta selari dengan keperluan sebenar industri.

“Peranan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan amat penting sebagai perancang utama pembangunan ekonomi negeri, sekali gus memastikan agenda TVET digerakkan secara menyeluruh dan tidak bersifat silo.

“Sinergi antara data ekonomi yang dibekalkan UPEN dan kepakaran teknikal JPK menjadi formula terbaik dalam melahirkan tenaga kerja yang tepat serta memenuhi kehendak pasaran semasa,” katanya semasa berucap pada Sesi Libat Urus Majlis TVET Negeri Kelantan dan Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI) Bagi Pusat Latihan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), KIASDEC dan Syarikat Kerjasama Pondok dan Tahfiz di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, Majlis TVET Negeri Kelantan turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menghubungkan dasar di peringkat Persekutuan dengan keperluan di peringkat negeri.

Beliau berkata antara institusi yang menerima pentauliahan ialah Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB), KIAS Skills Development Centre (KIASDEC) serta beberapa institusi pondok dan tahfiz melalui kerjasama strategik.

Menurutnya program kemahiran yang ditauliahkan merangkumi Operasi Pengeluaran Tanaman, Pengendalian Tanaman Cendawan, Pengoperasian Masjid serta Pengajaran Tahfiz yang mematuhi Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, model ADI merupakan pendekatan latihan berasaskan industri dengan nisbah 70 hingga 80 peratus pembelajaran di tempat kerja dan selebihnya di institusi latihan.

“Pendekatan itu signifikan dalam mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran dengan memberi pendedahan awal kepada pelatih terhadap realiti pekerjaan, budaya industri serta disiplin profesional.

“Sehingga kini, sebanyak 2,578,043 Sijil Kemahiran Malaysia telah dikeluarkan oleh JPK, membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.

Menurut beliau, TVET kini menjadi pemangkin utama dalam menjayakan aspirasi negara menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan penekanan kepada sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi termasuk teknologi, pendigitalan dan ekonomi hijau.

“Kerjasama erat antara JPK, kerajaan negeri dan pihak industri akan terus diperkukuh bagi memastikan Kelantan muncul sebagai hab kecemerlangan TVET di Pantai Timur serta melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here