Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Penantian kira-kira 15 tahun pihak Muay Thai Kebangsaan untuk melihat anak didiknya, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib (Aliff Rakib), 22, muncul sebagai juara dunia akhirnya tercapai selepas atlet kelahiran Kelantan itu mencipta kejayaan dalam ONE Championship.
Nama Aliff Rakib melonjak naik selepas melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia pada Julai lepas dalam ONE Championship apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok, bagi merangkul tali pinggang Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai.
Wakil Presiden Muay Thai Kebangsaan, Farik Urep berkata, beliau mengenali Aliff sejak atlet itu masih berusia kira-kira sembilan tahun sebelum membawanya bersama adiknya, Adam Rakib, 21, keluar dari Kelantan untuk pertama kali menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan sekitar 2012 atau 2013.

“Ketika itu Aliff baru berusia kira-kira sembilan tahun dan Adam pula lapan tahun. Saya membawa mereka keluar dari Kelantan buat pertama kali untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan di USJ, Selangor,” katanya ketika ditemui pada majlis keraian rumah baharu keluarga Aliff di Taman Sri Rantau, di sini, semalam.
Beliau berkata, penyertaan tersebut menjadi titik permulaan kepada perjalanan Aliff dan Adam dalam sukan Muay Thai apabila kedua-duanya mula dikenali di peringkat kebangsaan.
“Pada ketika itu Aliff berjaya menjadi juara dan itu merupakan tali pinggang pertama yang dimenanginya di peringkat kebangsaan. Dari situlah orang mula mengenali Aliff dan Adam sebagai antara bakat baharu Muay Thai negara,” katanya.
Farik berkata, selepas APT Muay Thai Gym tidak lagi beroperasi, Aliff dan Adam mendapat peluang meneruskan karier dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu yang membantu perkembangan mereka sebagai atlet.
“Terengganu banyak membantu Aliff, termasuk menyediakan elaun dan sokongan untuk dia meneruskan kerjaya sebagai atlet. Saya berterima kasih kepada pihak Terengganu kerana memberi peluang itu kepada Aliff,” katanya.
Menurutnya, Aliff turut muncul sebagai antara atlet Podium A sebelum mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang menjadi penampilan terakhirnya bersama negeri berkenaan.
“SUKMA 2024 adalah penampilan terakhir Aliff bersama Terengganu dan dia berjaya menyumbang pingat emas. Selepas itu, tumpuan Aliff lebih kepada kerjaya profesionalnya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Aliff dalam ONE Championship adalah hasil perjalanan panjang yang dilaluinya sejak kecil, termasuk pengalaman bertanding dalam pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara.
Jelasnya, pencapaian tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Aliff perlu melalui persaingan sengit sebelum mencapai tahap tertinggi dalam sukan Muay Thai.
“Orang mungkin fikir masuk ONE Championship itu mudah, tetapi sebenarnya bukan mudah. Lebih-lebih lagi selepas menjadi juara, Aliff perlu berdepan dengan lawan yang lebih kuat dan cabaran yang lebih besar,” katanya.
Farik turut menekankan aspek disiplin sebagai kunci utama kejayaan seseorang atlet, selain bakat dan kemahiran yang dimiliki.
“Bagi saya, disiplin adalah perkara paling penting. Walaupun seseorang atlet itu mempunyai bakat yang tinggi, tanpa disiplin dia tidak akan pergi jauh. Aliff sendiri tahu bahawa disiplin adalah nombor satu,” katanya.
Bercerita lanjut, Aliff kini perlu lebih berhati-hati dalam memilih kejohanan yang disertainya selepas menandatangani kontrak bersama ONE Championship.
“Selepas menandatangani kontrak dengan ONE Championship, Aliff tidak boleh menyertai mana-mana kejohanan sesuka hati kerana terdapat peraturan dan kategori tertentu yang perlu dipatuhinya,” katanya.
Tambahnya, tali pinggang ONE Championship yang dimenangi Aliff merupakan antara pencapaian tertinggi dalam Muay Thai dan kejayaan itu menjadikan atlet berkenaan sebagai contoh kepada generasi muda.
IMedikel TV






