Home Buletin Semasa MINDEF JANGKA TERIMA 18 PESAWAT RINGAN FA-50M MAC 2028

MINDEF JANGKA TERIMA 18 PESAWAT RINGAN FA-50M MAC 2028

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menerima empat buah lagi pesawat tempur ringan FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata empat pesawat tempur ringan itu akan diterima pada April tahun hadapan sebelum Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027.

Katanya dengan ketibaan empat pesawat FA-50M itu, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat tempur ringan yang diterima adalah enam.

“MINDEF telah terima dua (pesawat berkenaan) pada akhir bulan Oktober.

“Sebelum LIMA kita akan ada (terima) empat (pesawat). Selepas tu kita akan terima secara berfasa keseluruhan 18 pesawat pada Mac 2028.

“Kesemua 18 pesawat ini akan berpangkalan di Kuantan, Pahang sebab pesawat Hawk masih ada lagi.

“Apabila pesawat Hawk dikomersialkan, mereka akan fikirkanlah (untuk langkah seterusnya) meletakkan pesawat tempur ringan dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Peluncuran Sekolah Angkat Madani – Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) Di Sekolah Kebangsaan Panchor, di sini hari ini.

Pada 30 Oktober, Mohamed Khaled menerima dua pesawat tempur ringan FA-50M pertama yang diperoleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

Kedua-dua pesawat yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) itu tiba di Pangkalan Udara TUDM Labuan selepas diterbangkan dari Sacheon, Korea Selatan.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata majlis penyerahan rasmi pesawat berkenaan dijadual berlangsung pada pertengahan November ini di Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang.

Sebanyak 18 pesawat FA-50M diperoleh di bawah program Pesawat Latihan Tempur dan Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA), susulan perancangan TUDM untuk menamatkan operasi pesawat Hawk pada 2028.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here