Home Segmen Kesihatan MITOS TENTANG SAWAN

MITOS TENTANG SAWAN

154
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Ramai yang beranggapan apabila seseorang mengalami sawan dan kekejangan, mereka perlu dipegang dengan kuat kemudian dimasukkan sesuatu ke dalam mulutnya bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.

Namun, secara umum kaedah tersebut adalah mitos sahaja, malah tindakan itu boleh menyebabkan kecederaan atau keadaan menjadi di luar kawalan.

Menurut Profesor dalam bidang perubatan kecemasan, Professor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, terdapat pelbagai mitos tentang penyakit sawan yang biasanya dikaitkan dengan penyakit mental dan mereka yang mengalaminya tidak boleh hidup secara normal.

“Ada juga yang beranggapan mereka yang mengalami sawan, mulutnya akan turut kejang, lidah akan digigit (berkemungkinan boleh luka dan putus) dan boleh mengganggu pernafasan.

“Namun sebenarnya, penyakit ini mempunyai rawatan yang bersesuaian, mereka yang menghidapnya boleh menjalani kehidupan yang normal dan aktif serta boleh bekerja, bersekolah, bersukan dan melakukan aktiviti harian seperti orang lain.

“Ia sama sekali tidak berkait dengan psikologi atau penyakit mental sebaliknya, penyakit ini adalah gangguan neurologi,” katanya.

Penyakit tersebut berlaku disebabkan gangguan dalam aktiviti elektrik otak yang mengakibatkan kekejangan atau perubahan pada tingkah laku, kesedaran atau deria rasa.

Jelasnya, di Malaysia, hampir 70 peratus pesakit sawan epilepsi mempunyai pekerjaan sepenuh masa.

“Sebenarnya simptom sawan boleh berlaku dalam pelbagai manifestasi, bergantung pada bahagian otak yang terlibat.

“Seseorang yang tidak sedar seketika atau perubahan tingkah laku tanpa berlakunya kejang yang jelas atau deria rasa yang pelik mungkin merupakan simptom sawan,” katanya.

Terdapat beberapa jenis sawan yang dikategorikan berdasarkan gejala dan bahagian otak yang terlibat seperti yang berikut:

  1. Sawan umum: melibatkan keseluruhan otak dan biasanya menyebabkan kehilangan kesedaran.
  2. Sawan fokal: berlaku apabila gangguan elektrik pada satu bahagian otak sahaja dan menyebabkan gejala sawan setempat, seperti pergerakan yag aneh, perubahan deria rasa atau autonomik. Kadang-kadang sawan fokal boleh berkembang menjadi sawan umum.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here