Toronto: Cristiano Ronaldo akan sekali lagi memburu sejarah apabila Portugal menentang Croatia pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia, dengan sasaran utama menamatkan kemarau golnya di peringkat kalah mati.
Memetik laporan Harian Metro, Walaupun muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia, semua 10 gol Ronaldo pada kejohanan itu hadir di peringkat kumpulan.
Sehingga kini, penyerang berusia 41 tahun itu sudah mengharungi lapan perlawanan kalah mati Piala Dunia tanpa sebarang jaringan.
Pada penampilan sulungnya di Piala Dunia 2006, Ronaldo menjaringkan satu gol ketika menentang Iran, namun gagal meledak dalam empat aksi kalah mati ketika Portugal menamatkan kejohanan di tangga keempat.
Piala Dunia 2010 pula menyaksikan Portugal tersingkir pada pusingan 16 terakhir selepas tewas kepada Sepanyol, dengan Ronaldo hanya menjaringkan satu gol sepanjang kejohanan.
Pada 2014, masalah kecederaan menjejaskan prestasinya dan Portugal gagal melepasi peringkat kumpulan walaupun Ronaldo menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan.
Empat tahun kemudian di Russia, Ronaldo memulakan kempen dengan hatrik menentang Sepanyol, namun sekali lagi gagal menyumbang gol atau bantuan jaringan ketika Portugal tersingkir di tangan Uruguay pada pusingan 16 terakhir.
Piala Dunia 2022 di Qatar menjadi antara kempen paling mencabar buatnya apabila hanya menjaringkan satu gol menerusi penalti sebelum diketepikan daripada kesebelasan utama pada peringkat kalah mati.
Portugal akhirnya tersingkir di tangan Maghribi pada suku akhir, manakala Ronaldo meninggalkan padang dalam keadaan sebak selepas impiannya menjulang trofi Piala Dunia berkecai.
Ramai beranggapan Qatar 2022 adalah penampilan terakhirnya di Piala Dunia, namun Ronaldo membuktikan sebaliknya apabila kembali mengetuai Portugal pada edisi 2026.
Dia mencipta satu lagi rekod dengan menjaringkan gol ketika menentang Uzbekistan dan membantu Portugal mara ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, persembahannya ketika seri dengan DR Congo dan Colombia menimbulkan persoalan sama ada dia masih mampu menjadi pemusnah utama menentang lawan lebih kuat.
Kini Croatia yang diketuai Luka Modric menanti Portugal dalam satu lagi ujian besar buat Ronaldo untuk memecahkan rekod yang tidak diingininya itu.
Selepas 20 tahun beraksi di pentas Piala Dunia, peluang menentang Croatia mungkin menjadi kesempatan terbaik Ronaldo untuk akhirnya menjaringkan gol pertama pada pusingan kalah mati dan menambah satu lagi bab penting dalam karier luar biasanya.-HMetro Online-
IMedikel TV






