Toronto: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic percaya perlawanan menentang Portugal pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia bukan sekadar pertemuan dua legenda, Luka Modric dan Cristiano Ronaldo, sebaliknya akan ditentukan oleh penguasaan bahagian tengah.
Memetik laporan Harian Metro, Walaupun ramai penyokong menantikan pertarungan antara Modric dan Ronaldo, Dalic melihat pertembungan itu sebagai ujian antara dua barisan tengah berkualiti yang mampu menentukan pasukan mana akan terus memburu impian menjulang trofi Piala Dunia.
“Saya percaya ini akan menjadi pertempuran dua jentera tengah. Portugal mempunyai pemain berkualiti di bahagian tengah dan mereka juga sangat baik dari segi taktikal.
“Pada perlawanan seperti ini, setiap kesilapan akan dihukum,” katanya pada sidang media di Toronto.
Croatia sekali lagi mempamerkan semangat juang tinggi yang menjadi identiti mereka di pentas Piala Dunia apabila bangkit daripada kekalahan aksi pertama kepada England untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Panama dan 2-1 menentang Ghana.
Portugal pula mara ke pusingan kalah mati selepas meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri pada peringkat kumpulan.
Namun Dalic enggan memandang rendah kemampuan skuad kendalian Roberto Martinez itu.
Bahagian tengah Croatia diketuai kapten berusia 40 tahun, Modric bersama Martin Baturina yang menjaringkan gol ketika menentang England serta Petar Sucic yang meledak gol ke atas Ghana.
Portugal pula memiliki trio tengah berkualiti – Vitinha, Joao Neves dan Bruno Fernandes – walaupun perhatian utama tetap terarah kepada Ronaldo.
“Ia pasukan yang mahu menguasai bola sepanjang masa.
“Pasukan ini mempunyai sedikit kelemahan dan sentiasa mampu mencipta ancaman,” kata Dalic.
Perlawanan di Toronto itu juga berpotensi menjadi penampilan terakhir sama ada Modric atau Ronaldo di pentas Piala Dunia.
Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic, enggan membandingkan kedua-dua legenda itu.
“Kami mempunyai dua pemain hebat yang sudah banyak menyumbang kepada bola sepak dunia.”Saya yakin Luka akan terus melangkah ke hadapan. Saya hanya boleh bercakap perkara positif mengenai mereka,” katanya.-HMetro Online-
IMedikel TV






