KUALA LUMPUR: Anak penyanyi Ani Mayuni, Viviana mengakui lebih terluka apabila paras rupa menjadi sasaran kecaman netizen berbanding kritikan terhadap bentuk badannya.
Memetik laporan Berita Harian, Viviana atau Wirda Viviana Zairi, 21, berkata, wajah yang dimilikinya adalah anugerah daripada kedua-dua ibu bapanya, justeru dia terkilan apabila ada yang sanggup menghina rupa parasnya.
“Bentuk badan saya memang agak besar, tinggi dan sedikit berisi. Yang itu saya tidak begitu kisah.
“Tetapi, saya lebih terasa apabila mereka menghina paras rupa. Mungkin pada pandangan mereka saya tidak secantik artis lain, namun wajah ini adalah anugerah daripada kedua-dua insan yang paling saya sayang.
“Kalau betul saya tidak cantik, cakap sahaja saya tidak cantik. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata yang mengguriskan hati,” katanya kepada BH Online.
Viviana berkata, kecaman berterusan membuatkan dia memahami mengapa ada individu memilih mengubah wajah selepas menjadi mangsa buli siber.
“Kata-kata itu membunuh. Apabila kita sudah bersyukur dengan apa yang dimiliki, tetapi orang lain tidak boleh menerimanya, mungkin itu yang mendorong seseorang untuk berubah.
“Namun, saya tetap bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan tidak pernah terfikir untuk mengubah wajah. Cuma saya mahu menurunkan berat badan demi menjaga penampilan,” katanya.
Viviana turut mendedahkan pernah menerima mesej peribadi di Instagram yang melabelkannya sebagai pelacur hanya kerana memiliki bentuk badan berlekuk.
“Walaupun saya berpakaian sopan, tetap ada yang menganggap saya seksi. Bila pakai baju longgar pula, ada yang kata saya tidak pandai berfesyen.
“Jadi, saya memilih berpakaian mengikut keselesaan selagi ia sopan. Saya tidak faham kenapa mereka tergamak melabel saya dengan gelaran seperti itu,” katanya.
Mengulas cara berdepan kecaman, Viviana berkata, dia memilih untuk tidak membalas komen atau mesej negatif kerana tidak mahu memberi kepuasan kepada pembuli siber.
“Lagi kita melayan, lagi mereka seronok. Ada yang sanggup menggunakan akaun palsu untuk terus menghantar kecaman.
“Saya lebih memilih menghargai komen positif. Mungkin ada yang tidak menyukai saya, tetapi saya tahu masih ramai yang terus menyokong dan menyayangi saya,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






