FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Bintang Argentina, Lionel Messi meledak gol ke-900 dalam karier gemilangnya sebentar tadi ketika mewakili Inter Miami pada aksi Piala Juara-Juara CONCACAF menentang Nashville.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian. Messi, 38, hanya memerlukan tujuh minit untuk meraih pencapaian itu apabila tenang menyudahkan peluang dengan rembatan leret bagi memberikan Miami kelebihan 1-0 pada aksi kalah mati kejohanan kelab serantau itu.
Jaringan itu menjadikan jumlah gol Messi bersama Miami kini 81 sejak berpindah ke Major League Soccer (MLS) pada 2023.
Pemenang Ballon d’Or lapan kali itu sebelum ini menjaringkan 672 gol bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, 32 gol bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan 115 gol di peringkat antarabangsa bersama Argentina.
Gol ke-900 itu hadir kira-kira 21 tahun selepas jaringan pertamanya di pentas senior ketika membantu Barcelona menewaskan Albacete 2-0 pada 2005 ketika berusia 17 tahun.
Messi yang dianggap antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak masih mengejar rekod Cristiano Ronaldo, yang kini mengumpul 965 gol sepanjang karier.
Jaringan bersejarah itu hadir pada awal aksi kedua pusingan 16 terakhir menentang Nashville.
Selepas permulaan cemerlang Miami, Messi menerima hantaran pertahanan kiri Sergio Reguilon di dalam kotak penalti sebelum menyudahkannya dengan kemas menewaskan penjaga gol Nashville, Brian Schwake.
Gol itu memberikan Miami kelebihan agregat 1-0 ketika mereka memburu tiket ke suku akhir kejohanan kelab utama Amerika Utara, Tengah dan Caribbean itu.
Messi dijangka beraksi pada Piala Dunia keenamnya tahun ini apabila Argentina mempertahankan kejuaraan dalam kejohanan 48 pasukan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Bintang Argentina itu juga sudah melanjutkan kontraknya bersama Inter Miami hingga penghujung musim 2028.
Ketajaman Messi di depan gol menjadi ciri utama kariernya apabila 672 gol bersama Barcelona hadir hanya dalam 778 perlawanan, membantu kelab itu meraih 35 trofi sebelum berpindah ke PSG pada 2021.
Di Perancis, dia menjaringkan 32 gol dalam 75 perlawanan dan memenangi tiga trofi termasuk dua kejuaraan liga.
Bersama Miami pula, 81 gol dihasilkan dalam 96 penampilan, membantu kelab itu menjuarai Piala Liga 2023 dan Piala MLS 2025.
Sebanyak 115 gol antarabangsa dijaringkan dalam 196 penampilan, termasuk dua gol ketika final Piala Dunia 2022 menentang Perancis.
Jumlah jaringan Messi meletakkannya di tangga kedua di belakang Ronaldo menurut kebanyakan rekod rasmi.
Legenda Brazil, Pele sering dikatakan menjaringkan lebih 1,000 gol, namun angka itu masih dipertikaikan.
Kebanyakan pakar statistik menganggarkan jumlah sebenar jaringan Pele bersama Brazil, Santos dan New York Cosmos adalah sekitar 762 gol. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






