Home Buletin Semasa PERSINGGAHAN DUA KAPAL TENTERA LAUT AS DI PULAU PINANG PROSES RUTIN LOGISTIK...

PERSINGGAHAN DUA KAPAL TENTERA LAUT AS DI PULAU PINANG PROSES RUTIN LOGISTIK – MOHAMED KHALED

74
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Pulau Pinang pada Sabtu hingga Isnin lalu adalah bagi tujuan persinggahan sementara atau port of call untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal berkenaan iaitu USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) berlabuh di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang.

“Persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan negara bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya telah lama diamalkan dalam hubungan pertahanan dan pelayaran antarabangsa.

“Port of call ini adalah sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan yang bertujuan meningkatkan keyakinan antara negara selain memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau menjelaskan, tujuan utama persinggahan tersebut adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta memberi peluang rehat kepada kru kapal.

Dalam masa sama, kerajaan mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut negara.

“Setiap permohonan perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, persinggahan seperti itu juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara yang melalui laluan strategik seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Ia termasuk bagi tujuan eksesais dua hala, pelbagai hala serta kerjasama antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat, selaras dengan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,”katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, Malaysia merekodkan sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan.

“Antara negara terlibat termasuk Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here