Home Hiburan MELINDUNGI HAK PENGGIAT SENI

MELINDUNGI HAK PENGGIAT SENI

149
0

Usaha menjaga kepentingan penggiat industri seni muzik yang kini berdepan ancaman besar teknologi kecerdasan buatan (AI) sudah dimulakan menerusi pertemuan antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan pihak kerajaan yang diwakili Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Presiden RIM, Rosmin Hashim berkata, RIM menggesa kerajaan supaya dapat menggubal Rang Undang-Undang bertujuan mengawal selia syarikat pembangunan AI tempatan supaya menghormati pemegang hak cipta dan menggunakan teknologi secara sah melalui pertemuan secara berasingan bersama dua pihak berkenaan.

“Di Malaysia, RIM sudah mengambil langkah untuk memastikan pembangun AI dipantau supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan hak cipta lagu tempatan dalam latihan model dan mesin AI.

“Perkara utama dilakukan dengan mengadakan perjumpaan dengan MyIPO dan MOSTI, baru-baru ini.

“Pertemuan ini bagi menggesa kerajaan mengeluarkan Rang Undang Undang khusus untuk pembangunan AI bagi mengawal selia syarikat pembangunan AI di Malaysia beroperasi mengikut undang-undang dan memastikan mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta untuk melatih model AI atau mesin AI yang dibangunkan.

“Kerajaan juga perlu memastikan pembangun AI ini ada rekod yang telus mengenai apa yang digunakan untuk melatih model atau mesin AI.

“Kami nak tahu adakah mereka gunakan karya yang ada hak cipta ataupun tidak. Sebelum ini, ada dua syarikat AI yang menghasilkan muzik baharu menerusi janaan muzik AI disaman syarikat rakaman antarabangsa.

“Dua syarikat itu, Suno dan Udio berdepan tindakan undang-undang kerana didakwa menggunakan lagu-lagu dan rakaman yang ada hak cipta untuk melatih mesin AI tanpa kebenaran,” katanya.

Rosmin mengulas perkembangan terkini yang berlaku di Hollywood apabila ribuan individu berpengaruh terdiri daripada bintang muzik, kesusasteraan, skrin dan pentas bersama menandatangani kenyataan, susulan kebimbangan terhadap syarikat teknologi yang menggunakan karya kreatif sedia ada untuk melatih model AI tanpa kebenaran pencipta asal.

Menurut Rosmin, Malaysia perlu menjadikan negara luar sebagai contoh yang dilihat cukup agresif dalam melindungi hak penggiat seni berikutan banyak syarikat pembangun AI sudah memulakan operasi.

“Di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu meluluskan Akta Memastikan Keselamatan Suara dan Imej atau dikenali sebagai Akta Elvis bertujuan melindungi ahli muzik daripada pelanggaran AI.

“Sekarang banyak berlaku penyalahgunaan teknologi AI yang membabitkan artis. Antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

“Bila mereka menggunakan janaan AI dan muat naik di YouTube, komposer, penulis lirik, syarikat rakaman dan penyanyi tidak mendapat royalti.

“Keadaan ini jelas memberi ancaman terhadap punca pendapatan penggiat industri muzik tempatan,” tegasnya.

“Di negara Kesatuan Eropah (EU), mereka memperkenalkan Akta AI iaitu lagu yang dihasilkan tanpa pembabitan manusia dan dicipta menerusi janaan muzik AI, jadi lagu ini tidak sepatutnya diberi perlindungan hak cipta.

“Agak sukar untuk kita tahu, sama ada lagu dihasilkan oleh manusia ataupun janaan muzik AI. Justeru, menerusi Akta AI itu ada keperluan untuk pembangun AImelabel setiap hasil muzik supaya jelas sumbernya,” katanya.

Memandangkan usaha menggubal undang-undang mengambil masa dilaksanakan, Rosmin memaklumkan, buat masa ini, mereka menjadikan garis panduan dibuat jawatankuasa khas MOSTI sebagai contoh.

“Memandangkan usaha menggubal undang-undang perlukan masa, kami akan cuba tambah baik garis panduan sedia ada dengan perancangan jangka panjang untuk mendapat bantuan kerajaan menggubal undang-undang yang perlu,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here