KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee berharap kejayaan menjuarai saingan badminton Malaysia Super 100, semalam, mampu memikat hati ketua jurulatih yang baharu untuk mengekalkan mereka sebagai gandingan dalam skuad kebangsaan.
Mei Xing-Pei Kee yang menghuni ranking ke-112 dunia mencipta kejutan apabila menundukkan pilihan pertama dari Taiwan, Nicole Gonzales Chan-Yang Chu Yun 22-20, 21-11 pada aksi final di Stadium Juara Bukit Kiara di sini.
Ia adalah gelaran pertama buat Mei Xing-Pei Kee sebagai pasangan dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Iran 2023.
Mei Xing-Pei Kee berharap mereka akan terus diberi peluang untuk bergandingan apabila ketua jurulatih beregu wanita yang baharu dilantik nanti.
Difahamkan, hanya pasangan nombor tujuh dunia, Pearly Tan-M Thinaah yang sudah menjamin tempat dalam skuad beregu wanita negara manakala yang lain akan mengetahui nasib mereka sebaik ketua jurulatih baharu memulakan tugasnya.
Rosman Razak yang dikaitkan dengan jawatan turut dilihat hadir di Stadium Juara bagi menonton aksi final membabitkan Mei Xing-Pei Kee.
“Kami gembira kerana akhirnya dapat muncul juara selepas sering tersingkir di pusingan awal dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini. Kerja keras kami selam ini akhirnya berbalas.
“Kami tidak tahu apa perancangan jurulatih baharu untuk kami tetapi kami gembira sekiranya kami terus diberi peluang untuk bergandingan bersama,” kata Mei Xing.
Sementara itu, Pei Kee, berkata: “Kami tidak jangka mara ke final, kemenangan ini cukup besar untuk saya. Jika kami diberi peluang, ini akan menjadi satu permulaan untuk kami meraih lebih banyak kejayaan,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






