Home Buletin Semasa JPJ TAWAR BIDAAN NOMBOR PENDAFTARAN MADANI SERENDAH RM100

JPJ TAWAR BIDAAN NOMBOR PENDAFTARAN MADANI SERENDAH RM100

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia memberi tawaran kepada orang awam untuk mendapatkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI dengan harga minimum bermula RM100.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata bidaan nombor pendaftaran itu boleh diperoleh melalui Sistem JPJeBid bermula 19 Oktober sehingga 23 Oktober ini pada jam 10 malam.

“Selain tawaran harga RM100 bagi nombor semasa, terdapat juga nombor utama yang ditawarkan dengan harga bidaan sebanyak RM20,000, Nombor Premium RM5,000, Nombor Menarik RM2,500, dan Nombor Popular RM500.

“Keputusan bidaan NPI Siri MADANI pula akan dikeluarkan pada 24 Oktober ini dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Aedy berkata, NPI Siri MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda MADANI Malaysia secara tidak langsung mempromosikan nilai madani yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam setiap langkah kehidupan rakyat.

Jelasnya, kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada Terma dan Syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

“Hasil penjualan NPI ini juga adalah salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

“Antara inisiatif tersebut adalah Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA dan Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif lain,” katanya.

Ujarnya, orang awam dialu-alukan untuk turut menyokong hasrat kerajaan melalui penyertaan bidaan NPI dan seterusnya pemilikan nombor pendaftaran kenderaan Siri MADANI.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here