Rom: Mayat lelaki rentung yang ditemukan anggota bomba di kawasan pertanian di wilayah Salerno, selatan Itali, disahkan sebagai wartawan sukan tempatan, kata pihak pendakwa raya pada Ahad.
Memetik laporan Harian Metro, Anggota bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran di sebidang tanah pertanian di perbandaran Eboli, wilayah Campania, menemukan mayat berkenaan.
Mayat itu kemudian dikenal pasti sebagai Luigi Esposito, menurut Pendakwa Raya Salerno, Raffaele Cantone dalam satu kenyataan media.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pembunuhan,” katanya.
Persatuan Wartawan Kebangsaan Itali mengesahkan lelaki berusia 53 tahun yang dikenali sebagai Luca itu ialah wartawan berdaftar yang membuat liputan sukan untuk beberapa organisasi berita tempatan sebagai pengulas dan penyunting.
Menurut persatuan itu, mangsa turut bekerja secara tetap di sebuah agensi alam sekitar wilayah.
“Beliau dipercayai ditembak menggunakan senjata api sebelum mayatnya dibakar dan ditinggalkan di celah-celah semak,” katanya.
Presiden Kebangsaan persatuan itu, Carlo Bartoli berkata pihaknya kini menunggu hasil siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan kejam terhadap rakan sejawat mereka.-HMetro Online-
IMedikel TV






