Tehran: Iran kini berdepan perang berskala penuh dengan Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Masoud Pezeshkian pada Isnin, ketika Washington memperluas serangannya ke seluruh republik Islam itu.
Memetik laporan Harian Metro, Perisytiharan itu dibuat ketika sekutu Tehran di Yaman, kumpulan pemberontak Houthi mengancam untuk memperluas konflik dengan mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan Arab Saudi.
Langkah berkenaan dijangka menjejaskan keupayaan Riyadh mengeksport sebahagian minyaknya tanpa melalui Selat Hormuz.
Sepanjang peperangan yang tercetus sejak akhir Februari lalu, Iran melancarkan serangan ke atas beberapa negara di rantau itu dengan alasan menyasarkan aset AS, manakala Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Isnin mengesahkan pihaknya menyerang sasaran di Bahrain, Jordan dan Syria.
Bagaimanapun, kumpulan Houthi sebelum ini kekal berada di luar kancah pertempuran berkenaan.
“Hakikatnya, hari ini Republik Islam Iran sedang terbabit dalam perang berskala penuh,” kata Pezeshkian menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat presiden.
Kenyataan itu dibuat selepas media tempatan dan pihak berkuasa tempatan melaporkan serangan AS di beberapa lokasi di utara dan tengah Iran pada Isnin.
Konflik di Timur Tengah kembali memuncak selepas gencatan senjata yang dicapai pada April serta perjanjian rangka kerja pada Jun gagal dipertahankan, sekali gus menyebabkan harga minyak melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan ketika kedua-dua pihak berebut kawalan ke atas Selat Hormuz.
Selepas gencatan senjata dengan AS terbatal, Tehran kembali mengenakan sekatan ke atas laluan perairan strategik itu, manakala Washington bertindak balas dengan melaksanakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
Arab Saudi sebelum ini masih mampu meneruskan eksport berjuta-juta tong minyak setiap hari menerusi Pelabuhan Yanbu di Laut Merah, walaupun berdepan gangguan akibat sekatan di Selat Hormuz.
Sejak beberapa bulan lalu, pasaran minyak global dibayangi kebimbangan bahawa kumpulan Houthi akan kembali melancarkan serangan terhadap kapal-kapal dagang di Laut Merah dan Teluk Aden seperti yang berlaku ketika perang Gaza, sekali gus berpotensi mengganggu lebih banyak bekalan minyak mentah ke pasaran dunia.
Bagaimanapun, kumpulan Houthi yang berkonflik dengan Riyadh selama lebih sedekad masih belum menjelaskan kaedah yang akan digunakan bagi menguatkuasakan sekatan berkenaan, manakala di Selat Hormuz, beberapa kapal dilaporkan diserang, terbakar dan meletup berdasarkan kenyataan IRGC serta agensi Operasi Perdagangan Maritim British (UKMTO).
Konflik terbaharu itu turut meragut nyawa 17 anggota tentera AS secara keseluruhan, termasuk tiga kematian yang dilaporkan di Jordan dan Iraq, baru-baru ini.-HMetro Online-
IMedikel TV






