Home Sukan OLMO TEGUR TINDAKAN TAK PROFESIONAL ARGENTINA

OLMO TEGUR TINDAKAN TAK PROFESIONAL ARGENTINA

Madrid: Pemain tengah Sepanyol, Dani Olmo mengingatkan skuad Argentina yang mereka sepatutnya menjadi contoh kepada generasi akan datang selepas enggan menyaksikan acara penyerahan trofi Piala Dunia.

Memetik laporan Harian Metro, Sepanyol muncul juara dunia buat kali kedua selepas menewaskan Argentina 1-0 dalam masa tambahan pada final di New Jersey.

Skuad kendalian Luis de la Fuente menguasai sebahagian besar permainan, namun gagal memecah kebuntuan sepanjang 90 minit sebelum memperoleh kelebihan apabila Argentina beraksi dengan 10 pemain.

Pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez, dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan babak kedua, sekali gus memberi kelebihan kepada Sepanyol dalam masa tambahan.

Argentina berjaya bertahan pada separuh masa pertama masa tambahan, namun Ferran Torres akhirnya meledak gol kemenangan dari jarak dekat sebaik babak kedua bersambung.

Pasukan bimbingan Lionel Scaloni gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol sepanjang 90 minit permainan dan akhirnya terlepas peluang mempertahankan kejuaraan dunia.

Majlis penyampaian pingat selepas perlawanan turut mencuri perhatian apabila pemain Sepanyol membentuk barisan hormat kepada Argentina ketika mereka menerima pingat naib juara.

Bagaimanapun, kebanyakan pemain Argentina dilihat berjalan ke hujung padang dan menghadap penyokong sendiri ketika Sepanyol menerima pingat emas serta menjulang trofi Piala Dunia.

Tindakan itu mengundang kritikan pelbagai pihak.

Bekas pertahanan England, Stuart Pearce, berkata tindakan Argentina jelas menggambarkan sikap mereka.

“Itu sudah cukup menceritakan segala-galanya, bukan?” kata Pearce.

Olmo menjadi pemain pertama Sepanyol yang mengulas tindakan lawan selepas majlis penyampaian trofi.

“Kami tidak kisah. Apa yang penting ialah nilai yang ingin kita tunjukkan.

“Kami adalah contoh kepada banyak generasi dan saya fikir mereka juga sepatutnya begitu.

“Sekarang, kami mahu menikmati kejayaan ini,” kata Olmo.

Sepanyol sebelum ini muncul juara Eropah dua tahun lalu dan kini meraih kejuaraan Piala Dunia pertama sejak tahun 2010.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here