Home Sukan MARESCA BIMBANG BENTENG CITY RAPUH

MARESCA BIMBANG BENTENG CITY RAPUH

MANCHESTER: Manchester City akan memasuki rehat antarabangsa selama tiga minggu dengan kelebihan tiga mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Sunderland 5-3 namun pengurus Enzo Maresca dijangka tidak akan terlalu memikirkan perkara positif sepanjang tempoh rehat itu.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, jentera serangan City sekali lagi membuktikan ketajamannya untuk menyelamatkan pasukan hari yang menyaksikan benteng pertahanan mereka berulang kali goyah.

City mendahului sebanyak tiga kali sebelum akhirnya melebarkan jurang, dengan gol kelima Erling Haaland pada penghujung perlawanan memberikan ruang untuk mereka bernafas di Stadium Etihad.

“Sejujurnya, saya lebih suka menang 1-0 berbanding 5-3.

“Saya sentiasa bimbang. Saya sentiasa cuba melihat perkara yang boleh kami perbaiki. Sudah tentu, dua daripada tiga gol yang kami bolos terlalu mudah untuk berlaku. 

“Namun, kami menjaringkan lima gol dan mungkin boleh menjaringkan dua atau tiga gol lagi,” kata Maresca.

Antoine Semenyo meledak dua gol, manakala Rayan Cherki dan Enzo Fernandez yang menjaringkan gol pertama bersama City menerusi sepakan percuma cantik yang menerjah bahagian dalam gawang bagi memastikan tuan rumah kembali menguasai permainan dalam aksi yang sarat dengan kualiti serangan.

Namun di bahagian pertahanan, City kelihatan amat rapuh.

Josko Gvardiol melalui petang sukar ketika beraksi di bek kiri, manakala Ruben Dias bergelut berdepan Brian Brobbey yang melengkapkan hatrik sebelum meninggalkan padang dengan bola perlawanan diselitkan di bawah bajunya.

Dias juga bernasib baik apabila terselamat daripada menjaringkan gol sendiri yang memalukan selepas dia bergegas kembali untuk menguis bola keluar dari garisan gol, susulan percubaannya yang hampir menyebabkan bola masuk ke gawang sendiri.

Penjaga gol Gianluigi Donnarumma turut terperangkap dalam beberapa situasi berbahaya ketika barisan pertahanan City gagal membentuk kesatuan yang mantap.

Walaupun City cemerlang dalam serangan, mereka jarang kelihatan benar-benar mengawal permainan.

Sunderland melepaskan 17 percubaan berbanding 16 percubaan City dan mencatatkan sembilan percubaan tepat, tiga lebih banyak daripada skuad kendalian Maresca.

Daniel Ballard dari Sunderland pula hampir menjaringkan gol pada saat akhir apabila percubaannya terkena tiang selepas sekali lagi berlaku kesilapan dalam benteng pertahanan City.

Pasukan lawan yang lebih kuat pasti akan melihat kelemahan itu sebagai peluang sekiranya City terus memberikan ruang kepada lawan dengan mudah.

“Sudah tentu kami boleh mengawal permainan dengan lebih baik, mengekalkan penguasaan bola, tiada keraguan mengenainya.

“Namun, ada juga pasukan lawan dan mereka tidak mahu membenarkan kami mengawal permainan,” kata Maresca.

Perkara positif buat pengendali dari Itali itu ialah pasukannya memiliki kekuatan serangan yang sukar ditandingi kebanyakan pasukan.

Jaringan lewat Haaland menyaksikan dia kini menjaringkan gol ketika menentang kesemua 25 kelab EPL yang pernah dihadapinya.

Menduduki tangga teratas dengan rekod 100 peratus selepas lima perlawanan dalam musim pertamanya sebagai pengurus sememangnya kedudukan yang diinginkan Maresca.

Namun, dia kini mempunyai tempoh tiga minggu untuk mencari penyelesaian terhadap kelemahan pertahanan pasukannya sebelum saingan perebutan gelaran kembali bersambung.

“Rehat antarabangsa bagus kerana kami boleh menilai apa yang sudah kami lakukan dan perkara yang boleh kami perbaiki. Namun pada masa sama, kami boleh berehat sedikit,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here