SYDNEY: Wanita yang membunuh dan memotong mayat suaminya sebagai tindak balas atas penderaan dialami, dihukum penjara tiga tahun dan tambahan satu tahun kerana melupuskan mayat berkenaan
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Nirmeen Noufl, 55, mengaku bersalah bulan lalu atas kesalahan membunuh suaminya, Mamdouh Noufl selepas mendakwa bertindak demikian untuk mempertahankan diri, namun menggunakan kekerasan melebihi daripada dibenarkan undang-undang, lapor The Independent.
Mamdouh dilaporkan hilang pada Julai 2023 dan mayatnya tidak pernah ditemukan, manakala Noufl ditahan pada Oktober 2024 selepas polis menggeledah rumah pasangan itu di Greenacre, barat daya Sydney.
Memandangkan Noufl sudah berada dalam tahanan sejak ditahan, Hakim Peter Hamill memutuskan dia layak mendapat parol pada Oktober tahun depan.
Dalam prosiding pada Jumaat, pendakwaan dan peguam bela bersetuju bahawa pasangan itu bertengkar pada suatu malam pada Mei 2023 yang kemudian bertukar menjadi pergaduhan fizikal.
Mengikut pengakuan Noufl kepada pakar psikiatri, dia terpaksa mencapai alat pengubahsuaian dan menikam suaminya demi mempertahankan diri kerana dicekik dan ditekan ke lantai dapur sehingga merasakan nyawanya terancam.
Hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa wanita tersebut berniat untuk membunuh suaminya.
Noufl didakwa memotong mayat suaminya sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah dengan bantuan seorang saksi yang identitinya tidak didedahkan atas alasan undang-undang.
Saksi berkenaan memberitahu mahkamah, dia melihat beberapa bahagian gergaji bulat besar yang sudah dibuka bahagiannya, selain serpihan plastik yang ada antaranya mempunyai kesan darah.
Mahkamah turut dimaklumkan, perkahwinan pasangan itu dicemari kecurangan dan keganasan rumah tangga, manakala anak-anak mereka menggambarkan hubungan berkenaan sebagai penuh penderaan serius, termasuk keganasan, manipulasi dan kawalan secara paksaan.
Media melaporkan Mamdouh digambarkan dalam dokumen mahkamah sebagai seorang yang tegas, mengongkong dan berpegang kepada pandangan Islam konservatif.
Dia juga dilapor bertemu seorang wanita ketika berada di Mesir pada 2022 dan menyatakan hasrat untuk mengahwininya, tetapi enggan memenuhi permintaan Noufl untuk bercerai. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






