Home Hiburan SURAT VOKALIS LINKIN PARK KEPADA SITI DITEMUI SELEPAS LEBIH DUA DEKAD

SURAT VOKALIS LINKIN PARK KEPADA SITI DITEMUI SELEPAS LEBIH DUA DEKAD

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad terperuk, sepucuk surat daripada vokalis Linkin Park, iaitu mendiang Chester Bennington yang ditujukan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, ditemui pengurus penyanyi bergelar Biduanita Negara itu, Rozi Abd Razak.

Memetik laporan Harian Metro, melalui perkongsian Threads, Rozie berkata, surat itu diterima Siti ketika menghadiri MTV Asia Awards di Bangkok, Thailand pada 2005.

Tambah Rozi, surat itu ditemui semula ketika mengemas rumah.

“Beberapa bulan lalu, saya cerita perkara ini ketika sesi ‘live’ bersama Siti. Tiba-tiba sedang kemas-kemas, saya jumpa semula surat daripada mendiang Bennington yang diterima kira-kira 21 tahun lalu.

“Surat ini sampai ke bilik hotel saya dan Siti. Saya simpan sampai sekarang,” katanya.

Melalui foto dikongsi, surat itu dilihat ditujukan kepada ‘Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin’ di bilik 1017.

Dalam nota ringkas, mendiang Bennington meminta Siti memakai topi yang diberi ketika penyanyi kesayangan ramai itu berada di pentas pada malam terbabit.

“Kepada Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin. Harap dapat memakai topi di pentas malam ini. Terima kasih,” tulis mendiang Bennington dalam surat berkenaan.

Rozi berkata, surat itu menjadi antara kenangan lama yang masih disimpannya.

“Disclaimer, mengimbau sahaja, tiada tujuan lain,” katanya.

Pada acara berkenaan, Siti memenangi kategori Favourite Artiste Malaysia selain turut membuat persembahan dan diperkenalkan sebagai Voice of Asia.

Mendiang Bennington meninggal dunia pada 2017 pada usia 41 tahun. Mendiang dikenali sebagai vokalis utama Linkin Park, iaitu kumpulan rock Amerika Syarikat (AS) yang popular menerusi lagu seperti In the End, Numb dan What I’ve Done.

Perkongsian Rozi itu turut mengundang rasa ingin tahu netizen yang tertanya-tanya sama ada Siti sempat memakai topi berkenaan seperti diminta mendiang Bennington.

Bagaimanapun, setakat ini, Rozi belum menjawab pertanyaan peminat di ruang komen. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here