Oleh: Alini Nadhirah Ismail, Wartawan ImedikelTV
Mandi bunga tidak asing lagi dengan budaya orang Melayu. Malah ia juga sinonim kepada individu yang akan melangsungkan perkahwinan atau pertunangan serta individu yang ingin membuang aura negatif dalam badan. Mandi bunga ini boleh diamalkan tidak kira jantina dan umur.
Kebiasannya amalan ini dilakukan sama ada untuk mewangikan dan menyegarkan badan, menaikkan seri wajah dan mencantikkan kulit.
Bagi pasangan pengantin yang akan berkahwin, amalan ini juga sering dijadikan perkara utama supaya mereka kelihatan manis dan berseri ketika berada di atas pelamin.
Dalam Islam, hukum mandi bunga adalah harus sekiranya ia dilakukan dengan betul dan perbuatan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam dan hukum syarak.

Ketahuilah bahawa mandi bunga merupakan satu amalan yang baik kerana ia membantu seseorang itu berasa segar, sekaligus membantu menaikkan seri wajah disebabkan khasiat yang terdapat di dalam bunga yang diserap ke dalam badan.
Tahukah anda bahawa bunga adalah penyerap tenaga matahari yang baik dan kebaikannya akan diturunkan kepada seseorang yang mengamalkannya.
Butiran debunga halus yang dihasilkan Bunga akan kelihatan seperti bergerak dan bernyawa apabila direndam di dalam air, hasil dari tekanan dengan zarah-zarah air. Deria luaran badan akan diaktifkan melalui gerakan ini lalu meransang sistem hormon badan dan akhirnya akan ‘menggerakkan’ organ dalaman untuk bekerja dengan lebih baik.
Namun ada yang mengatakan mandi bunga ini umpama mengamalkan perbuatan ritual. Akan tetapi mandi bunga ini boleh diamalkan dan jangan melakukan sebarang ritual semasa melakukannya.
Malah, individu itu boleh sahaja mandi sendiri dengan niat untuk mendapat manfaat kesihatan daripada unsur-unsur kebaikan yang ada pada bunga-bungaan tersebut.






