Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan merogol dan melakukan jenayah seksual terhadap cucu perempuannya yang berusia 12 tahun di Bachok pada Januari hingga awal Jun ini.
Tertuduh yang berusia 79 itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa tanpa kerelaannya di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Bachok antara jam 8.28 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 11 Januari hingga 4 Jun 2026.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Syafiqah tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang juga kanak-kanak bawah umur.
Mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
IMedikel TV






