Home Sukan MALAYSIA TUAN RUMAH ASEAN Y-ROBOC’25, PERKUKUH PERANAN BELIA SERANTAU

MALAYSIA TUAN RUMAH ASEAN Y-ROBOC’25, PERKUKUH PERANAN BELIA SERANTAU

557
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Malaysia menjadi tuan rumah kepada Pertandingan Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25), yang menghimpunkan 12 pasukan belia dari 10 negara ASEAN.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata dengan menggabungkan pertandingan robotik serantau dan platform pembangunan kerjaya strategik, kedua-dua acara ini menyediakan ruang menyeluruh kepada belia untuk menonjolkan kreativiti, mengaplikasikan kemahiran teknikal serta meneroka laluan kerjaya sebenar.

“ASEAN Y-RoboC’25 bukan sekadar medan pertandingan robotik, malah ia adalah sebuah gerakan serantau yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti dan aspirasi bersama dalam kalangan belia ASEAN.

“Kita melihat pasukan dari ASEAN datang dengan robot ciptaan mereka dan hari ini Malaysia mengalahkan Timor Leste, platform sebegini perlu diwujudkan bagi pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mencungkil serta menonjolkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Cabaran Robot Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) dan Hari Kerjaya Zon Pantai Timur TVET Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2025, di sini, hari ini.

Katanya, program itu adalah inisiatif (KBS) sempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang diterajui Malaysia di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

“Ia bukan sahaja menonjolkan kepentingan inovasi digital tetapi juga memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja masa hadapan selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri serantau,” katanya.

Katanya, ia turut menyokong Pelan Kerja Belia ASEAN selama lima tahun yang memberi fokus kepada pengukuhan kemahiran digital dan inovasi yang digerakkan oleh belia serantau.

Jelasnya, pada masa sama, cabaran tersebut berlangsung serentak dengan Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Timur melibatkan enam institusi di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta 16 syarikat dan institusi mengambil bahagian dalam sesi pengambilan pekerja.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu bukan sahaja mencetuskan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, malah mengukuhkan kedudukan Malayia sebagai peneraju dalam usaha memperkasa belia, memperluas keterangkuman digital dan mempereratkan kerjasama ASEAN secara menyeluruh.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here