Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN TUMPAS CUBAAN SELEWENG PETROL

KPDN KELANTAN TUMPAS CUBAAN SELEWENG PETROL

257
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

WAKAF BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan menumpaskan cubaan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dalam satu serbuan ke atas sebuah stesen minyak di Jalan Masjid, di sini, hasil maklumat risikan berkaitan penyalahgunaan minyak petrol bersubsidi di kawasan sempadan.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, serbuan dijalankan sekitar jam 12.30 tengah hari kelmarin dan berjaya mengesan dua kes berasingan membabitkan penyelewengan serta pelanggaran peraturan pengurusan barang kawalan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan bersama sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang dipercayai telah diubah suai dengan tangki tambahan untuk menyimpan minyak petrol bersubsidi. Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 175 liter minyak petrol disimpan dalam kenderaan tersebut.

“Turut ditemui di lokasi adalah beberapa helai resit pembelian minyak. Nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan berjumlah RM5,358.75,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Jelasnya pemeriksaan turut dijalankan ke atas pengurusan dan dokumen premis stesen minyak berkenaan.

“Beberapa dokumen jual beli bahan api, salinan lesen perniagaan dan rekod stok sudah diambil untuk siasatan lanjut,”katanya.

Menurutnya tindakan diambil di bawah Peraturan 12(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 atas kesalahan melanggar arahan yang ditetapkan Pengawal Bekalan.

“Jumlah keseluruhan minyak petrol yang disita dalam kedua-dua kes adalah sebanyak 175 liter dengan nilai RM358.75. Siasatan bagi kedua-dua kes sedang dijalankan secara berasingan,”katanya.

Azman menegaskan bahawa KPDN Kelantan memandang serius terhadap sebarang cubaan menyeleweng atau menyeludup barang kawalan bersubsidi dan akan terus mempergiatkan operasi di kawasan berisiko tinggi, terutamanya di sekitar sempadan negeri.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha penguatkuasaan yang berterusan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here