JAKARTA: Seramai 22 pengunjung kebanyakannya kanak-kanak, cedera disengat obor-obor ketika mandi di beberapa pantai selatan Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) selepas menyangka haiwan itu sama seperti yang ditonton dalam rancangan kartun, SpongeBob SquarePants.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Ketua Pelaksana Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) DIY, Noviar Rahmad berkata, semua mangsa terkena sengatan ketika bermain di pantai termasuk di Pantai Parangtritis dan Gunungkidul sepanjang musim cuti sekolah.
Katanya, ramai yang terpengaruh dengan imej obor-obor dalam kartun itu sehingga cuba menangkapnya.
“Sebahagian mereka ingat obor-obor seperti dalam SpongeBob, boleh pegang dan tak bahaya.
“Tetapi ini ada sesungut, berwarna biru atau merah dan boleh menyengat,” katanya.
Menurutnya, bahagian paling berbahaya jika disengat di dada kerana boleh menjejaskan jantung.
“Mujur semua mangsa hanya alami kecederaan ringan dan dirawat di pos penyelamat,” katanya.
Katanya, anggota penyelamat juga dibekalkan dengan ubat dan peralatan untuk rawatan awal termasuk cuka dan alkohol.
“Kalau kena, luka perlu segera dibersihkan, dikikis dan disapu cuka,” katanya.
Setiausaha Satlinmas Rescue Wilayah Pantai Baron, Surisdiyanto berkata, pihaknya menerima puluhan laporan sejak hujung minggu lalu dan menasihatkan pengunjung tidak menyentuh obor-obor walaupun kelihatan tidak bergerak.
“Biasanya kanak-kanak tertarik sebab warnanya cantik tetapi kesannya boleh menyakitkan,” katanya.
Fenomena kemunculan obor-obor dikenali sebagai impes, lazimnya berlaku antara akhir Jun hingga September setiap tahun.
Pihak berkuasa meminta pengunjung lebih berhati-hati dan tidak lagi menganggap obor-obor di laut sama seperti dalam kartun. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






