Home Buletin Semasa KPKT TIDAK KOMPROMI JIKA ADA UNSUR RASUAH DALAM MYKIOSK

KPKT TIDAK KOMPROMI JIKA ADA UNSUR RASUAH DALAM MYKIOSK

246
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak berkenaan pelaksanaan inisiatif MyKiosk, sebagai usaha penting memastikan setiap dasar kerajaan berjalan secara telus dan bebas daripada unsur rasuah.

Menurut kenyataan media KPKT semalam, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung isu itu.

Pihak kementerian secara sukarela telah menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif itu kepada SPRM pada 22 Mei lalu, sebagai bukti komitmen terhadap prinsip ketelusan dan integriti.

“MyKiosk adalah salah satu inisiatif KPKT bagi memperkasakan ekonomi peniaga kecil. Kos siling yang ditetapkan bagi setiap unit MyKiosk 2.0 adalah RM25,000 dan pelaksanaannya dilakukan melalui proses sebut harga terbuka oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, sebanyak 795 kontraktor telah dilantik oleh 133 PBT di seluruh negara bagi tujuan pembelian dan penempatan MyKiosk.

KPKT turut menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi sekiranya wujud sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa dalam proses perolehan mahupun pelaksanaan inisiatif ini di peringkat PBT.

Dalam masa sama, kementerian terus memperkukuh budaya integriti dalam kalangan agensi dan jabatan di bawahnya, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di semua PBT bagi memantau prestasi serta membanteras amalan rasuah.

“KPKT komited untuk memastikan semua program kerajaan berjalan mengikut landasan yang betul demi manfaat rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here