Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Korea terus diperkukuh apabila kedua-dua negara bersetuju memperluas kerjasama Strategik sempena ulang tahun ke-65 hubungan dua hala tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dipersetujui hasil pertemuannya dengan Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung, di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan dan peluasan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, infrastruktur serta pembangunan bandar pintar.
“Kerjasama juga diperluas kepada sektor baharu seperti teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Republik Korea dalam memacu pertumbuhan mampan demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Beliau pada masa sama mengucapkan selamat maju jaya kepada Jae Myung dalam menerajui penganjuran Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025, yang dijangka memperkukuh lagi integrasi ekonomi serantau serta kerjasama global.
IMedikel TV






