Home Sukan LYLES TIDAK BIMBANG SELEPAS KEJANG OTOT

LYLES TIDAK BIMBANG SELEPAS KEJANG OTOT

NEW YORK: Noah Lyles tidak bimbang selepas mengalami kekejangan otot yang memaksanya menarik diri daripada saingan final 200 meter pada Kejohanan Olahraga Amerika Syarikat (AS), sambil mengakui insiden itu membuatkannya lebih menghargai kehebatan legenda pecut Jamaica, Usain Bolt.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pada saingan dalam cuaca panas di Stadium Icahn, New York, impian Lyles untuk melengkapkan gelaran berganda pecut AS buat kali kedua selepas melakukannya pada 2024 berkecai apabila dia memperlahankan larian sebelum menamatkan perlumbaan secara perlahan dalam acara yang dimenangi Garrett Kaalund.

“Ya, ia berlaku ketika saya memasuki selekoh apabila otot hamstring saya tiba-tiba kejang dan saya fikir tiada sebab untuk terus memaksa diri. Jadi saya memutuskan untuk berhenti.

“Ia cuma kekejangan otot. Saya ada minuman elektrolit di sini, saya akan minum dan berehat,” kata Lyles.

Lyles, pemenang emas 100m Olimpik Paris dan juara dunia empat kali acara 200m, berkata dia tidak menyedari kemenangan dalam acara 100m Jumaat lalu memberi kesan besar kepada tubuhnya. 

Dia mencatat masa terpantas dunia tahun ini, 9.79 saat pada final selepas merekodkan 9.76s dengan bantuan angin pada separuh akhir, sekali gus menyamai catatan terbaik peribadinya dalam final.

“Berlari dua kali dalam catatan 9.7s pada hari yang sama memang luar biasa. Saya rasa saya memandang rendah tahap kepantasan sebenar saya,” katanya.

Lyles berkata pengalaman itu sangat berharga menjelang Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya mahu menguji diri untuk mengetahui bagaimana rasanya kembali berlari pada hari berikutnya kerana jika perkara ini berlaku di Olimpik, saya perlu bersedia menghadapinya.

“Pengalaman ini menunjukkan apa yang diperlukan untuk terus beraksi. Ia juga memberi perspektif mengenai betapa hebatnya Bolt,” katanya mengenai legenda Jamaica itu yang memenangi acara 100m dan 200m pada Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here