RIYADH: Cristiano Ronaldo dilaporkan memainkan peranan besar dalam usaha Al Nassr mendapatkan rakan senegara, Bruno Fernandes, selepas kelab Liga Pro Saudi itu mula mengintai kemungkinan membawa kapten Manchester United beraksi di Riyadh.
Menurut laporan, Ronaldo mahu membantu Al Nassr membina skuad lebih kuat bagi menghadapi musim baharu dan dikatakan sedang berusaha meyakinkan Fernandes mengenai projek kelab itu.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Al Nassr juga dilaporkan sudah mula menilai situasi Fernandes selepas pemain tengah berusia 31 tahun itu memasuki fasa akhir kontraknya bersama Manchester United. Namun, perpindahan itu masih jauh daripada menjadi kenyataan kerana Fernandes sebelum ini menunjukkan kecenderungan untuk kekal di Old Trafford.
Fernandes kekal menjadi tonggak utama United sejak menyertai kelab itu pada 2019 dan masih dianggap pemain penting dalam perancangan pasukan. Minat daripada kelab Arab Saudi bukan perkara baharu apabila beberapa pasukan termasuk Al Nassr pernah dikaitkan dengan pemain Portugal itu sebelum ini.
Bagaimanapun, hubungan rapat antara Ronaldo dan Fernandes di pentas antarabangsa bersama Portugal menjadikan saga perpindahan ini lebih menarik. Kedua-duanya pernah membentuk gandingan penting ketika membantu Portugal di beberapa kejohanan besar termasuk Piala Dunia.
Jika berjaya direalisasikan, perpindahan Fernandes ke Al Nassr bakal menyaksikan Ronaldo sekali lagi bergandingan dengan seorang pemain Portugal berprofil tinggi selepas kelab itu sebelum ini turut membawa masuk beberapa bintang antarabangsa. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






