TEHRAN: Iran sedia menghentikan serangannya selagi Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah sama, menurut seorang pegawai kanan Iran kepada Reuters pada Ahad.
Memetik laporan Reuters menerusi harian Metro, kenyataan ini menyusul tindakan AS yang mendesak supaya perang itu dihentikan sementara.
Langkah itu dibuat selepas penasihat Presiden Donald Trump memaklumkan bahawa tentera AS semakin kehabisan sasaran, selain menyuarakan kebimbangan mengenai pengurangan stok senjata mereka.
Selepas 13 malam serangan udara AS yang berterusan dan semakin intensif ke atas Iran, Pentagon bertindak menggantung operasinya lewat Jumaat lalu.
Tiada sebarang serangan baharu dilaporkan daripada pihak AS pada Sabtu dan Ahad.
Iran – yang sebelum ini bertindak balas terhadap setiap serangan AS dengan menyerang negara-negara jiran yang menempatkan pangkalan tentera AS – turut menghentikan serangannya sepanjang dua hari lalu.
Pegawai Iran berkenaan, yang enggan dikenali, memberitahu Reuters bahawa pendirian Tehran kekal mengamalkan prinsip ‘serangan balas selari’: Jika serangan AS berhenti, Iran juga akan menghentikan operasinya.
Mesej itu sudah disampaikan kepada pihak AS.
Sementara itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz, memberitahu program “Fox News Sunday” dan beberapa media AS lain bahawa Trump memutuskan untuk menggantung serangan bagi memberi ruang kepada saluran diplomasi.
“Beliau memberi ruang dan peluang untuk rundingan,” kata Waltz tanpa mengulas lanjut.
Menurut seorang pegawai AS yang bercakap atas syarat kerahsiaan, pegawai tentera AS baru-baru ini memberi amaran bahawa kempen pengeboman sepanjang dua minggu lalu – yang bertujuan mengekang ancaman Iran terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz – sebahagian besarnya menghabiskan senarai sasaran yang ditetapkan awal.
Meskipun usaha melancarkan semula operasi tempur utama kekal sebagai pilihan, Pengerusi Ketua Staf Gabungan, Jeneral Dan Caine, dilaporkan memberi amaran secara sulit kepada Trump bahawa tindakan itu berisiko mengurangkan simpanan peluru tentera AS.
Menurut pegawai berkenaan, ini termasuklah bekalan peluru pemintas yang digunakan oleh sistem pertahanan udara AS di Timur Tengah. Bagaimanapun, pejabat Caine dan Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) enggan memberikan sebarang ulasan.
Dalam pada itu, sumber kanan Iran memberitahu Reuters bahawa Tehran tidak begitu optimis bahawa keputusan Trump menggantung serangan menunjukkan perubahan besar dalam pendirian rundingan AS.
“Wujud lebih banyak keraguan berbanding keyakinan terhadap penghentian serangan ini. Pandangan umum melihat jeda ini sekadar taktik sementara dan bukannya ikhlas. Iran sudah serik dan mempunyai pengalaman pahit dengan apa yang disifatkannya sebagai penipuan AS,” kata sumber itu. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






