Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Lonjakan permintaan dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data hiperskala kini memacu keperluan Malaysia untuk meneroka potensi tenaga nuklear sebagai sumber alternatif masa depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, perkembangan pesat ekonomi digital serta pembuatan berteknologi tinggi seperti semikonduktor telah mewujudkan permintaan luar biasa terhadap bekalan tenaga yang stabil.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keupayaan infrastruktur tenaga dan digital yang berdaya tahan adalah kritikal memandangkan aspek keselamatan tenaga kini saling berkait rapat dengan daya saing industri negara.

“AI tidak boleh berkembang tanpa sistem tenaga yang boleh dipercayai dan mampan. Pada masa yang sama, daya tahan iklim bukan lagi sekadar isu alam sekitar, sebaliknya sudah menjadi satu keperluan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di Georgetown, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai persediaan nuklear, beliau menjelaskan bahawa kementeriannya sedang giat menjalankan penilaian awal dan kerja-kerja kesiapsiagaan dari segi pembangunan teknologi, bakat, rantaian industri serta kerangka kawal selia.
“Langkah proaktif itu diambil bagi memastikan negara berada dalam fasa bersedia sepenuhnya sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengguna pakai teknologi berkenaan pada masa akan datang,” katanya.
Selain aspek tenaga, beliau menambah bahawa kerajaan turut melaksanakan penilaian semula secara menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, pekerjaan, dasar perindustrian, dan keselamatan negara bagi mendepani cabaran teknologi termaju termasuk robotik serta pengkomputeran kuantum.
“Malaysia mahu memperkukuh keupayaan dalam teknologi strategik dan baharu termasuk AI, bahan termaju, teknologi angkasa serta nuklear.
“Kita mahu membangun, mengaplikasi, dan mengkomersialkan teknologi sendiri, bukan sekadar menjadi pengguna luar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lih Kang berkata, MOSTI memberi penekanan terhadap pembangunan dan penggunaan teknologi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dalam permohonan peruntukan Belanjawan 2027.
“Kita akan memberi fokus kepada teknologi yang boleh membantu rakyat yang boleh kita sampai ke kawasan pedalaman, luar bandar dan kita cuba bawa teknologi itu untuk kesejahteraan rakyat.
“Katakan (seperti) hantar orang ke angkasa, itu tidaklah. Kita lebih fokus kepada penggunaan teknologi yang boleh menyenangkan kehidupan rakyat,” katanya.
Jelasnya, permohonan peruntukan MOSTI untuk Belanjawan 2027 telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) namun jumlah dan perincian rangka peruntukan berkenaan hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan.
IMedikel TV






