Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Aktiviti penyimpanan petrol di sebuah stor pengkalan haram di Koya, Pengkalan Kubor, terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Kubor menahan tujuh lelaki serta merampas tujuh kenderaan Mitsubishi Pajero dan 330 liter petrol dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penyimpanan petrol di lokasi berkenaan.
Menurut kenyataan di laman rasmi KPDN, dalam serbuan pertama, anggota PGA menahan enam lelaki yang berada berhampiran enam Mitsubishi Pajero berpendaftaran tempatan.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit membawa kepada penemuan minyak petrol yang dipercayai disimpan untuk tujuan tertentu.
“Tidak lama kemudian, pasukan berkenaan menjalankan serbuan kedua di lokasi sama sebelum menemukan sebuah lagi Mitsubishi Pajero berwarna biru bersama anak kunci dan minyak petrol,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan seorang lelaki yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan.
Keseluruhannya, rampasan membabitkan tujuh Mitsubishi Pajero dan 330 liter petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM36,364.10.
Kesemua suspek bersama kenderaan serta petrol yang dirampas kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan kini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengesan sumber petrol berkenaan selain mengenal pasti tujuan ia disimpan di stor pengkalan haram tersebut,” menurut kenyataan.
IMedikel TV






